Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Wakil rakyat serta pengundi parlimen Petaling Jaya Selatan (PJS) hari ini membuat bantahan terhadap persempadan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke atas kawasan mereka.

Antaranya bantahan itu adalah berhubung tindakan SPR yang memindahkan tiga daerah mengundi kawasan parlimen Shah Alam ke kawasan parlimen mereka.

Tiga daerah mengundi itu ialah Glenmarie, Taman Glenmarie dan TTDI Jaya.

Menurut seorang pengundi PJS, Elizabeth Chrisostom, tiga daerah mengundi berkenaan dilihat tidak sesuai untuk diletak di bawah parlimen Petaling Jaya (nama baru yang dicadangkan oleh SPR bagi parlimen PJS).

Ini kerana, katanya, sebelum ini ketiga-tiga daerah mengundi itu terletak di bawah parlimen Shah Alam dan di bawah seliaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

"Tiga daerah mengundi yang berada dalam kawasan parlimen P105 (Petaling Jaya) ini tidak sesuai kerana kawasan ini adalah sebahagian daripada bandaraya Shah Alam.

"Sepatutnya berada di P108 (Shah Alam) dan bukannya P105 (Petaling Jaya)," katanya dalam surat bantahan yang diserahkan kepada SPR Selangor pada sesi pendengaran awam di Shah Alam pagi ini.

Turut hadir membuat bantahan pada hari ini ialah Anggota Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming, Anggota Parlimen PJS Hee Loy Sian, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan Haniza Talha, peguam Derek Fernandez, serta wakil masyarakat bagi pengundi PJS.

Selain itu, mereka turut membuat bantahan berhubung pembahagian pengundi yang tidak sekata.

Ini kerana, menurut mereka terdapat ketidakseimbangan pengundi yang besar antara kerusi parlimen lain yang terletak di kawasan bandar seperti parlimen Petaling Jaya Utara (Damansara), Puchong dan Subang (Sungai Buloh).

Menurut Ong pula, ketidakseimbangan pengundi itu dilihat tidak berasas memandangkan semua parlimen berkenaan mendapat pembangunan infrastruktur dan aksesbiliti yang hampir sama.

"Kesemua kawasan ini ada lebuh raya yang memberi akses yang baik kepada penduduk tempatan dan terdapat juga akses kepada pengangkutan awam seperti LRT, MRT, KTM dan bas Rapid KL," katanya.

Ketidakseimbangan pengundi itu ialah apabila parlimen PJS mempunyai 129,363 pengundi, Petaling Jaya Utara 150,439 pengundi, Puchong dan Subang 73,447 pengundi.

Sehubungan itu, Ong berkata, ketidakseimbangan pengundi berkenaan bercanggah dengan Subseksyen 2(c) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, memandangkan jumlah pengundi di PJS dan PJU mencecah 100,000 pengundi, beliau mencadangkan agar satu lagi kerusi parlimen ditambah di kawasan Petaling Jaya.

"Dengan penambahan satu lagi kerusi parlimen, purata jumlah pengundi di ketiga-tiga kerusi parlimen ini akan dikurangkan kepada 93,000 pengundi dan ia boleh mengurangkan ketidakseimbangam pengundi antara PJS dan kawasan parlimen berhampiran," kata Ong.

Bantahan lain yang dibuat pada sesi pendengaran awam hari ini juga ialah persempadanan pilihan raya antara kawasan DUN Bukit Gasing dan Taman Medan yang didakwa sengaja dilakukan.

Hee, pula mendakwa tindakan persempadanan semula di kawasan parlimennya bertujuan untuk memastikan pertambahan majoriti pengundi bagi sesetengah kaum di beberapa kawasan.

"Di DUN Taman Medan, mereka (SPR) memindahkan pengundi Cina ke DUN Bukit Gasing dan ia menjadikan Taman Medan majoriti Melayu bertambah dan Bukit Gasing majoriti Cina bertambah.

"Nampak sangat BN nak lepaskan Bukit Gasing dan nak menang di Taman Medan dan Seri Setia," kata Hee yang turut menambah selepas persempadanan semula, DUN Seri Setia turut diletak di bawah parlimen Petaling Jaya.

"Dengan pertambahan DUN Seri Setia yang mana ia merupakan kawasan Kelana Jaya dimasukkan ke Petaling Jaya, jumlah pemilih bertambah sebanyak 50,000.

"Dua DUN ini (Taman Medan dan Seri Setia) pengundi Melayu bertambah dan pengundi Cina berkurangan. Saya lihat ini cara mereka nak rampas Selangor dengan menang di dua DUN ini dan lepaskan Bukit Gasing," katanya.

Sebelum persempadanan semula, DUN Taman Medan dan Bukit Gasing diletakkan di bawah parlimen PJS.

Semua kerusi DUN dan parlimen berkenaan dimenangi oleh pembangkang pada pilihan raya umum yang lalu dengan majoriti 15,842 di Bukit Gasing, 3,731 di Taman Medan dan 4,663 di Seri Setia.

Lihat Komen
ADS