Serah kepada PM, KM selesai perbalahan - UPP
Parti pro Barisan Nasional (BN) Parti Rakyat Bersatu (UPP) hari ini berkata parti itu menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sarawak untuk merangka formula bagaimana UPP dan parti komponen BN, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) boleh bekerjasama pada pilihan raya umum akan datang.
Presiden UPP Datuk Seri Wong Soon Koh Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua Sarawak berkata beliau dan pemimpin SUPP telah bercakap dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhubung perkara itu.
Najib ketika merasmikan penutupan Persidangan Perwakilan Tritahunan SUPP ke-24 di Kuching baru-baru ini, mahu perbalahan antara SUPP dengan parti serpihannya, UPP diselesaikan sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Kami (UPP) juga menyerahkan kepada Ketua Menteri untuk mengatur pertemuan antara kedua-dua pemimpin parti menyelesaikan perbalahan ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan perpisahan daripada Konsul Jeneral Republik China ke Sarawak Fu Jijun, di pejabatnya di Kuching hari ini.
Menjawab soalan lain, Wong berkata UPP telah menyerahkan senarai calon PRU14 kepada Najib dan Abang Johari tetapi enggan mendedahkan kerusi yang ingin dipertandingkan atau individu yang dicalonkan.
- Bernama

