Misi BERSATU untuk tembusi kubu Umno
Di atas kertas, BERSATU dilihat dalam misi paling berat dalam pilihan raya umum ke-14. Pakatan Harapan telah menugaskan parti itu untuk meletakkan 52 calon parlimen, kebanyakannya di kubu tradiri Umno.
Ini termasuk Pekan, yang diwakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sembilan penggal berturut-turut sejak tahun 1976.
Kemudian di Kota Tinggi, di mana Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid dari BN memenangi 82.4 peratus daripada jumlah undian pada 2013.
Penelitian mendalam terhadap kerusi yang diperuntukkan kepada BERSATU menunjukkan 23 dari 52 kawasan pilihan raya berkenaan adalah "kerusi marginal."

Dalam laporan ini, "kerusi marginal" ditakrifkan sebagai kerusi yang dimenangi dengan majoriti kurang daripada 56 peratus daripada jumlah undi.
Dengan mengandaikan bahawa calon BERSATU dan Umno akan terlibat dalam pertandingan satu lawan satu di 52 kawasan pilihan raya itu, BERSATU - di atas kertas - ia dilihat mempunyai peluang sekurang-kurangnya di 23 kerusi marginal.
Nama besar, majoriti kecil
Perlumbaan untuk 23 kerusi marginal itu menjanjikan sesuatu yang menarik, kerana hampir separuh daripadanya disandang oleh tokoh-tokoh terkenal dan juga anggota kabinet, seperti:
- Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh, majoriti 50.1 peratus);
- Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang, 50.1 peratus);
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai, 50.2 peratus);
- Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani (Titiwangsa, 50.6 peratus);
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau, 50.6 peratus);
- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim (Muar, 51 peratus);
- Anggota majlis tertinggi Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling, 52.5 peratus);
- Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang, 54.5 peratus);
- Bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (Tambun, 55.3 peratus); dan
- Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut, 55.6 peratus).
Namun pada masa yang sama, terdapat banyak faktor yang mungkin perlu didepani ahli HARAPAN.
Contohnya, BERSATU merupakan sebuah parti baru dengan sumber yang terhad. Kemudian ada faktor-faktor luaran, seperti persempadanan semula kawasan pilihan raya, dan PAS, yang mungkin turut mengintai 23 kerusi yang sama.

