‘Pelihara Felda seperti anak kandung’
Bekas pengerusi Felda Tan Sri Mohd Yusof Noor menasihatkan agar pihak berkaitan dapat memelihara institusi berkenaan seperti anak kandung mereka sendiri.
Tanpa menamakan mana-mana pihak, Mohd Yusof juga berharap, hartanah Felda dapat dipelihara agar tiada pihak yang menjadikan tanah milik Felda menjadi milik individu.
"Ini (Felda) warisan yang kalau boleh kita pelihara macam anak kandung betul. Jangan anggap ini sama seperti hartanah yang dimiliki individu.
"Ini hartanah negara dan kita kena pelihara betul-betul. 100 peratus.
"Ia satu legasi peninggalan (bekas perdana menteri) Tun Abdul Razak. Kalau dia ada, saya fikir dia tentu rasa terkejut dengan perubahan yang ada dari segi kemajuan dan dari segi lain.
"(Tun Razak) seorang pemimpin yang ada visi, hasil dari visi dia kita dapat lihat hutan bertukar menjadi bandar-bandar baru," katanya yang dipetik sebagai berkata dalam laporan KiniTV.
Mohd Yusof berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita ymengenai isu penjualan tanah Felda di Jalan Semarak.
Pada 21 Disember tahun lalu, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.
Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.
Pada ketika itu, Tan Sri Isa Samad menjadi pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017 dan menjadi pengerusi Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) pada 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan pengerusi FIC pula sejak ia ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.
Pada Rabu lalu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menuntut Felda menjelaskan sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab dalam memberikan kuasa penuh kepada sebuah syarikat yang ditugaskan untuk membangunkan tanah utama yang dimiliki oleh agensi persekutuan itu.
Syarikat itu dilapor diberi kuasa untuk menukar hakmilik tanah utama, yang terletak di Jalan Semarak di Kuala Lumpur, dari Felda, sehingga menimbulkan kebimbangan bahawa kerajaan akan kehilangan aset berkenaan.
Rafizi merujuk kepada Seksyen 3 Akta Pembangunan Tanah 1956, yang berkaitan dengan Felda.
Khususnya, ahli parlimen PKR itu berkata Seksyen 3 (3) (c) dan Seksyen 3 (3) (ca) memerlukan Felda mendapatkan kelulusan daripada menteri yang bertanggungjawab untuk memasuki apa-apa perjanjian dengan pemaju, termasuklah projek usaha sama.
Felda diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

