Paling Popular
Terkini

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membidas laporan Berita Harian yang mendakwa beliau "memberi amaran" kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) agar tidak bercakap mengenai pembahagian kerusi dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Lim menafikan bercakap seumpama itu semasa sidang akhbar yang diadakan di Komtar semalam di mana beliau diminta mengulas mengenai isu tersebut.

Sebaliknya Lim menyelar wartawan yang menulis artikel berkenaan dan menyifatkannya sebagai "bacul dan pengecut" kerana tidak menghadiri sidang akhbar hari ini.

"Saya cabar dia saman saya.

"Saya tidak pernah beri amaran kepada AMANAH, ini semua adalah pembohongan," kata Lim, sambil menambah wartawan berkenaan tidak menjalankan tugasnya dengan profesional.

Kata Lim, ini bukan kali pertama laporan "palsu" dan tidak berasas diterbitkan mengenai pemimpin HARAPAN.

"Kini anda faham mengapa saya tidak mahu menjawab soalan yang ditanya oleh media BN.

"Anda juga harus faham mengapa saya mengambil tindakan undang-undang terhadap media apabila mereka melaporkan berita palsu," tegasnya.

Lim bagaimanapun berkata beliau tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar dan wartawan berkenaan, sebaliknya berharap laporan itu akan ditarik balik atau diperbetulkan.

Laporan ringkas itu yang diterbitkan di portal BH Online pada jam 3.35 petang semalam, bagaimanapun kini tidak dapat diakses.

Lim menegaskan beliau tidak pernah memberi amaran kepada mana-mana parti komponen dalam HARAPAN, apatah lagi melakukannya kepada ahli parti sendiri.

"Kami adalah parti demokratik, semua orang dibenarkan beri pandangan mereka, dan ada beberapa parti komponen HARAPAN yang mempunyai pandangan berbeza antara satu sama lain mengenai pembahagian kerusi.

"Saya hanya kata kita akan terus mendengarnya dan menjelaskan kepada mereka apa yang perlu kita lakukan untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang," katanya.

Lihat Komen
ADS