Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menyeberangi jambatan di Jepun telan kos RM500 - Dr M

Calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan kadar tol di Malaysia.

Berbanding dengan pengguna lebuh raya di Jepun, bekas perdana menteri itu berkata pemandu terpaksa membayar jauh lebih tinggi.

Sebagai contoh, Dr Mahathir berkata, projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berjaya menangani masalah kesesakan semasa tempoh perayaan tetapi rakyat tetap tidak berpuas hati dengan kadar tol itu.

“Di Malaysia, ia (kadar tol) jauh lagi murah. Di Jepun, untuk gunakan satu jambatan satu hala - bayaran RM270 sehala.

“Tapi Jambatan Pulau Pinang RM7 sejak dibina tahun 80an...

“Walau pun ada mengeluh agak tinggi kadar tol tapi ini untuk dua hala RM7 sedangkan jambatan (yang) lebih kurang sama di Jepun (kadar tolnya) lebih kurang RM500,” katanya semasa ditemubual melalui Facebook secara langsung pagi ini.

Sementara itu, Mahathir berkata bagi negara untuk memiliki sistem pengangkutan awam seperti LRT dan MRT, ia mesti disusuli dengan sistem bas untuk mengangkut penumpang ke stesen.

“Ini perlu diadakan, dan ini akan menelan kos.

“Selain itu banyak lagi kemudahan diperlukan untuk jadikan sistem MRT berjalan dengan baik dengan tak bebankan pelabur atau kerajaan dengan kos tinggi yang akan menelan pendapatan kerajaan, maknanya wang untuk projek lain dikurangkan,” katanya.

Mahathir menjawab soalan daripada pengguna Facebook Khalid Karim, yang mendakwa bahawa kerajaan semasa telah mengabaikan sistem komuter dan bas, sehingga mengakibatkan orang ramai kurang menggunakan pengangkutan awam.

“Kita boleh tambah kemudahan pengangkutan awam tetapi kalau kenakan kos tinggi maka rakyat mungkin tidak dapat menggunakan sepenuhnya,” kata bekas perdana menteri itu.

Lihat Komen
ADS