Terjemahan Laporan yang dikeluarkan oleh bank pelaburan antarabangsa, Merrill Lynch mengenai Malaysia baru-baru ini, jelas menunjukkan bahawa keadaan ekonomi negara di tahap yang tidak sihat walaupunpun kerajaan mendakwa sebaliknya, kata seorang pakar ekonomi hari ini.

Pakar tersebut yang tidak mahu namanya disebut berkata, keputusan Merrill Lynch untuk menurun-taraf pasaran saham Malaysia daripada 'lebih nilai (overweight)' kepada 'di bawah nilai (underweight)' tidaklah mengejutkan kerana ia sudah pengetahuan umum yang ekonomi negara sedang merosot.

Katanya, beliau juga tidak mengerti mengapa ada keberatan untuk menurunkan kadar pertumbuhan Produk Kasar Domestik (GNP) yang diramalkan pada 6.2 peratus.

Sebaliknya, beliau yang bertugas dengan sebuah firma penyelidikan perniagaan antarabangsa, meramalkan pertumbuhan kadar GDP ialah pada kadar 4.1 peratus.

Menurutnya, kerajaan menggunakan alasan bahawa keadaan ekonomi semakin pulih dalam penggal kedua tahun ini.

"Tetapi kita sudahpun berada dalam penggal kedua tahun ini, tetapi tiada tanda yang keadaan semakin baik," katanya.

Beliau menjelaskan, dengan menurun-taraf stok kepada 'bawah nilai', maka para pelabur asing akan mengurangkan pelaburan mereka dalam pasaran saham Malaysia berbanding dengan perancangan sebelumnya.

Ini bermakna, para pelanggan Merrill Lynch dan syarikat-syarikat lain yang merujuk kepada perakuan bank kewangan mereka, akan mengurangkan pelaburan di negara ini, berbanding dengan tahap rujukan pelaburan semasa antarabangsa.

Parti pembangkang DAP berkata, laporan Merril Lynch itu merupakan "satu petanda mengenai ketidakupayaan negara untuk memperkukuhkan kelebihan dayasaingnya".

"Ini bermakna ketidakupayaan untuk menyekat inflasi dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi. Ia memberi kesan kepada tahap kecekapan dan produktiviti ekonomi negara. Ini menunjukkan bahawa pihak kerajaan masih mahu menidakkan hakikat bahawa ekonomi Malaysia adalah tidak sihat," kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Sasaran 'mustahil' dicapai

Baru-baru ini, kerajaan berkata, negara kini berada di landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan kewangan lima hingga enam peratus pada tahun 2005. Katanya, ramalan itu dibuat dengan mengambilkira harga minyak yang tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapa Mohamed juga dipetik sebagai berkata awal bulan ini, bahawa ekonomi negara kini berada dalam 'keadaan baik dan sihat'.

Guan Eng bagaimanapun, berkata, sasaran pertumbuhan enam peratus itu mustahil untuk dicapai.

"Mereka masih bercakap mengenai pertumbuhan ekonomi sebanyak 6 peratus, tetapi kita semua tahu yang ianya mustahil dicapai. Masalah itu perlu diselesaikan secara serius," katanya.

Dalam laporan yang sama, Merrill Lynch telah menaik-taraf syarikat Korea Selatan kepada 'lebih nilai (overweight), kerana negara itu menawarkan potensi pulangan yang tertinggi di kalangan pasaran Asia./ Berita asal