Sokongan HARAPAN Selangor pada Dr M hadir tanpa PKR

   

PKR Selangor tidak menyertai tiga parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) peringkat negeri itu dalam kenyataan bersama menyokong pengisytiharan yang dibuat konvensyen Ahad lalu.

Antaranya berhubung pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya, bagi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Kenyataan bersama yang diedarkan hari ini itu ditandatangani Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) selangor Izham Hashim, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor Datuk Abdul Rashid Asari.

Pengerusi PKR Selangor adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Kami mewakili AMANAH, DAP dan BERSATU ingin menegaskan sokongan tak berbelah bahagi terhadap semua pengisytiharan yang dibuat konvensyen," kata kenyataan bersama itu.

Selain calon perdana menteri, konvensyen turut memutuskan pengagihan kerusi Parlimen bagi Semenanjung Malaysia, serta komitmen kerajaan HARAPAN ke arah pembebasan dan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat sebagai perdana menteri ke lapan.

Anwar sendiri melalui kenyataan yang dibacakan anaknya Nurul Izzah ketika konvensyen berkata PKR menerima setiap keputusan yang telah diputuskan pimpinan HARAPAN.

PKR Selangor sebaliknya diketahui tidak bersetuju dengan pemilihan Mahathir sebagai calon perdana menteri.

Susulan pengisytiharan, Ketua Wanita PKR dan anggota parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin menyuarakan bantahannya terhadap "amalan kitar semula" pemimpin.

Menegaskan beliau tiada masalah dengan Mahathir secara peribadi, anggota parlimen Ampang itu berpandangan bekas perdana menteri itu lebih sesuai jika dilantik sebagai "menteri kanan" jika HARAPAN berjaya menubuhkan kerajaan.

Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor Hizwan Ahmad pula berkata, negara pada masa ini lebih memerlukan "tokoh segar" bagi membawanya keluar daripada "kepompong kerosakan" oleh BN.

Pengisytiharan Ahad lalu itu menamatkan perdebatan panjang berhubung pemilihan Mahathir sebagai calon perdana menteri HARAPAN yang mengundang bantahan sesetengah pihak.

 

 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.