Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan membuat tuntutan kepada kerajaan supaya memperjuangkan isu berhubung orang Islam dan bangsa Melayu terutamanya berkaitan tanah rizab.

Malah, Ketua Seketariatnya Aminuddin Yahya berkata, tuntutan sama juga akan dibuat kepada parti-parti politik lain di negara ini.

Menurut Aminuddin, tuntutan berkenaan betujuan agar setiap parti politik dapat memberi komitmen dan prihatin terhadap masalah yang melanda orang Islam dan bangsa Melayu di Malaysia ketika ini.

"Di akhir konvensyen ini kita akan keluarkan tuntutan kepada kerajaan memerintah.

"Dan tuntutan itu juga untuk diserahkan kepada semua pemimpin parti politik sama ada BN, Pakatan Harapan (HARAPAN) atau Gagasan Sejahtera yang diterajui PAS.

"Dalam manifesto mereka, kita tidak nampak isu syiar Islam dipamerkan, hanya berkaitan isu rasuah dan bagaimana nak selesaikanya. Kita tidak ada masalah ke arah itu, tapi kita nak khusus kepada Islam dan orang Melayu," kata Aminuddin (gambar, atas).

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Konvensyen Kebangkitan Ummah anjuran NGO UMMAH di ibu negara hari ini.

Selain itu, Aminuddin berkata, sekiranya tuntutan kumpulan pendesak hindu, Hindraf sebelum ini didengari, maka beliau berharap agar tuntutannya juga dapat diterima oleh semua pihak terutamanya kerajaan.

Justeru, beliau turut memberitahu UMMAH juga akan menjelajah ke seluruh negara bagi membangkitkan semangat dan kesedaran masyarakat tentang nasib bangsa Melayu dan orang Islam.

"Kalau orang lain boleh bercakap mengapa kami tidak? Kita tengok Hindraf pun didengar tuntutan mereka. Kenapa kita tidak boleh? Ini semua perlu kepada kehendak politik.

Tolak parti tak sokong

"Semua ini kerajaan boleh buat sebab mereka pegang polisi, dan kita rasa nasib Melayu boleh berubah dan ditingkatkan kalau ada kehendak politik.

"Kalau nak selesaikan masalah sosial sahaja, negara lain pun bagus dalam selesaikan masalah itu, New Zealand, Jerman, Australia.

"Kita bukan nak itu sahaja, kita nak khususnya kepada bangsa Melayu dan orang Islam. Itu kami desak," katanya.

Sehubungan itu, Aminuddin yang juga timbalan presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berkata, sekiranya tiada parti politik yang menyokong tuntutan mereka, maka UMMAH akan menolak parti tersebut.

"Kalau kita tidak dapat satu komitmen daripada mana-mana parti politik contohnya BN dan HARAPAN dan PAS, maka kita menolak parti berkenaan.

"Kita akan hantar segala resolusi dalam konvensyen ini secepat mungkin, dan kita tahu pilihan raya umum pun sudah dekat," ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Konvensyen Kebangkitan Ummah anjuran NGO UMMAH di ibu negara hari ini.

Konvensyen pada hari ini terbahagi kepada tujuh klaster untuk dibincangkan iaitu undang-undang dan syariah, dakwah, sosial, belia, pendidikan, ekonomi serta tanah rizab dan hak Melayu.

Lihat Komen
ADS