MTEM cadang kerajaan perbaharui DEB

   

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mencadangkan agar kerajaan melaksanakan gaji minimum sebanyak RM1,800.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MTEM Ahmad Yazid Othman, gaji minimum sebanyak RM1,000 ketika ini dilihat tidak sesuai memandangkan kos sara hidup semakin meningkat.

Selain meningkatkan amaun gaji minima, Ahmad Yazid turut menggesa agar kerajaan memperbaharui Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana dasar yang sebelum ini dianggap tidak lagi relevan.

"Dasar ekonomi sekarang tak relevan. Gaji minima juga perlu diperbaharui.

"Buat DEB 2.0, sambung balik kerja-kerja (dari DEB) yang belum selesai. Kita perlukan DEB yang baru dan peningkatan gaji minimum. Hentikan segala diskriminasi.

"Gaji tak naik, kos sara hidup tinggi. Tak selari," katanya pada Konvensyen Kebangkitan Ummah di ibu negara hari ini.

Ketika ini gaji minimum di Semenanjung ialah sebanyak RM1,000 dan RM920 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menjelaskan lagi perkara itu, Ahmad Yazid memberitahu, ada lagi DEB yang belum selesai yang mana masih ada lagi industri yang dibuka bukan kepada semua bangsa.

"Kena kaji balik. Kaji semua industri agar ada ruang untuk semua bangsa.

"Macam supply chain masih lagi dikuasi oleh sesetengah kaum. Isu ketidakadilan dari segi kaum, gender. Masih lagi belum memuaskan. Masih lagi ada industri yang tiada langsung penglibatan bumiputera," katanya lagi.

Rumah mampu milik

Perkara lain yang dicadangkan MTEM ialah kerajaan menyediakan rumah mampu milik yang sewajarnya serta kurangkan jumlah pekerja asing.

"Kita juga nak minta agar kerajaan tidak buat tender terbuka atau urusan terus (direct negotiation). Tapi buat tender terhad atau carve out. Hanya bumiputera sahaja yang boleh masuk," ujarnya

Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah diperkenalkan pada tahun 1971. Matlamat tersurat dasar ekonomi ini - mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional.

Ia telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata; pertama, membasmi kemiskinan; dan kedua menstruktur semula masyarakat untuk mewujudkan keseimbangan ekonomi antara kaum di Malaysia dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

Secara rasmi, DEB tamat pada 1990. Ia seterusnya digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional pada 1991 hingga 2000.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.