Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin pemberontak Congo dihukum mati
Diterbitkan:  Jan 15, 2018 11:49 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

GLOBAL Mahkamah tentera di timur Republik Demokratik Congo (DRC) yang bergolak telah menjatuhi hukuman mati ke atas seorang pemimpin pemberontak.

Pemimpin Mayi-Mayi, Guylain Mumbere Kitambala, yang didakwa memiliki senjata haram dan menyertai satu gerakan pemberontak, telah dikenakan "hukuman mati itu,” menurut satu penghakiman yang dikeluarkan di bandar Beni oleh Mahkamah Tentera wilayah Kivu Utara.

Enam belas lagi tertuduh yang didakwa bersama-sama Kitambala telah dijatuhi hukuman penjara dari 3 tahun hingga 15 tahun.

Hukuman mati tidak pernah diguna pakai di DRC sejak 2002 berikutan satu moratorium (penggantungan atau penangguhan sesuatu kegiatan secara persetujuan bersama).

Mayi-Mayi adalah kumpulan bela diri yang dibentuk berdasarkan etnik.

Timur DRC, terutama wilayah Kivu Utara dan Kivu Selatan, telah dilanda keganasan selama lebih 20 tahun.

Sementara itu, tentera Congo telah melancarkan serangan ke atas kumpulan pemberontak bersenjata, Angkatan Demokrat Bersekutu (ADF) di timur bandar Beni pada Sabtu, yang dipersalah dalam satu serangan yang meragut 15 nyawa anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bulan lepas.

Operasi itu adalah sebahagian daripada usaha bersama oleh DRC dan Uganda ke atas kumpulan tersebut selepas ADF disyaki menyerang satu pangkalan tentera yang dikawal anggota pengaman dari Tanzania.

Serangan itu, yang turut mengorbankan lima tentera Congo serta mencederakan 53 anggota pengaman lain, berlaku di tengah-tengah gelombang keganasan yang semakin meningkat di kawasan yang kaya dengan mineral.

Beberapa kumpulan militia yang menjadi pesaing telah mengawal bahagian timur Congo sejak sekian lama iaitu selepas perang 1998-2003 berakhir secara rasmi, yang menyaksikan berjuta-juta orang mati, kebanyakannya akibat kebuluran dan penyakit.

Keganasan militia di seluruh negara meningkat berikutan keengganan Presiden Joseph Kabila meletak jawatan setelah mandat beliau berakhir lebih setahun lepas, dan ini menimbulkan kebimbangan Congo mungkin terjerumus ke dalam peperangan secara habis-habisan sekali lagi.

ADF Islam sudah lama bergerak aktif di sepanjang sempadan Congo-Uganda dan telah dipersalah dalam beberapa insiden pembunuhan beramai-ramai.

Bulan lepas Uganda telah melancarkan serangan udara dan artileri ke atas kubu-kubu ADF.

- Bernama-Nnn-Africanews

Lihat Komen
ADS