Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sumbangan cecah RM100,000
Diterbitkan:  Jan 15, 2018 4:11 PM
Dikemaskini: Jan 18, 2018 10:56 AM

Sumbangan kepada Malaysiakini yang diarahkan membayar gantirugi RM350,000 berikutan keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam satu kes fitnah kini mencecah lebih RM100,000 sejak dilancarkan Khamis lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran, berkata beliau amat berterimakasih atas sumbangan berkenaan yang membuktikan rakyat negara ini menghargai kebebasan media.

"Sumbangan diterima dari semua lapisan masyarakat yang memahami risiko wartawan ketika membuat liputan mengenai isu kepentingan awam.

"Kami membuat liputan dengan niat baik, kami amat berharap rakyat akan membantu kami melalui rintangan ini," kata Premesh.

Minggu lalui Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menganugerahkan kepada syarikat Raub Australian Gold Mine (RAGM) gantirugi RM200,000 dan kos perundangan RM150,000.

Pada 23 Mei 2016, Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Rosnani Saub menolak tuntutan RAGM terhadap Malaysiakini dan tiga kakitangan editorialnya.

Penduduk di Bukit Koman di Raub, Pahang mendakwa penggunaan bahan kimia berkaitan sianida untuk mengeluarkan emas di lombong RAGM telah memberi kesan kepada kesihatan mereka.

RAGM mengemukakan saman fitnah selepas Malaysiakini melaporkan mengenai aduan mereka, yang melibatkan tiga laporan berita dan dua video.

Syarikat itu menghentikan operasi perlombongannya dan memohon pembubaran pada tahun lalu.

Premesh berkata Malaysiakini juga merakamkan penghargaan kepada penyokong yang menghantar kata-kata dorongan dan semangat melalui telefon dan e-mel.

"Saya ke bank pagi ini untuk memasukkan RM500 dalam akaun anda bagi menampung sebahagian denda yang dikenakan oleh mahkamah," kata seorang pembaca.

Wartawan veteran yang kini adalah pensyarah kewartawanan, M Krishnamoorthy, berkata beliau menyumbang kepada tabung pembelaan Malaysikini kerana dirinya percaya dengan kebebasan akhbar.

"Saya berharap lebih banyak orang akan menyumbang kepada tabung ini kerana Malaysiakini berada di barisan hadapan untuk mendedahkan penyelewengan, anomali dan kepincangan kewangan oleh kerajaan," katanya dalam e-mel.

Mereka yang ingin menyumbang kepada Tabung Pembelaan Malaysiakini boleh menyumbang ke dalam akaun berikut:

• Nama akaun: Mkini Dotcom Sdn Bhd
• Nombor Akaun: 514253516714 (Maybank)
• Kod Swift: MBBEMYKL
• Alamat cawangan: Dataran Maybank, Tingkat 1 Menara A, Dataran Maybank, 59000 Kuala Lumpur.

Sebagai alternatif, anda juga boleh menderma menggunakan kad kredit dengan menghubungi kami di +603 7770 0017 atau melalui PayPal.

Sekiranya rayuan Malaysiakini berjaya di peringkat Mahkamah Persekutuan, wang yang dikutip akan disimpan dalam tabung pembelaan untuk kes mahkamah masa depan.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS