Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hormati, pelihara kebebasan badan kehakiman - sultan Johor
Diterbitkan:  Jan 18, 2018 3:43 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menyeru kepada semua masyarakat di negara ini supaya menghormati dan memelihara prinsip kebebasan badan kehakiman serta jangan sesekali membuat tuduhan tidak berasas terhadap hakim atau pegawai kehakiman.

Baginda bertitah demikian kerana kehakiman merupakan antara tiga badan utama negara, selain legislatif dan eksekutif, yang mana badan ini mempunyai hak dan kebebasan masing-masing yang perlu dihormati serta dipelihara bagi memastikan kestabilan negara dipertahan.

"Hakim dan pegawai kehakiman perlu bebas serta tiada campur tangan mana-mana pihak. Walaupun Raja bertanggungjawab memastikan kehidupan rakyat aman dan makmur, Raja juga tertakluk kepada undang-undang dan tidak boleh campur tangan dalam kehakiman.

"Saya percaya hakim adalah bijaksana dalam menegakkan keadilan, saya percaya hakim bertindak sebaik mungkin dan tidak terpengaruh dengan kepentingan peribadi atau politik," titah Baginda ketika merasmikan Kompleks Mahkamah Muar hari ini.

Turut berangkat Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, serta turut hadir Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sultan Ibrahim bertitah dalam prinsip kebebasan badan kehakiman serta dua lagi badan utama iaitu legislatif dan eksekutif tiada pihak memegang kuasa multak dan ini membolehkan prinsip semak dan imbang dilaksana dalam memastikan kestabilan negara.

"Pihak eksekutif pula hendaklah mentadbir kerajaan berdasarkan undang-undang diluluskan, jika ada pertikaian mesti diputuskan badan kehakiman," titah baginda.

Baginda bertitah apabila ketiga-tiga badan itu diberi kebebasan dan hak masing-masing, pemerintahan negara akan tersusun dan tidak akan ada salah guna kuasa serta mampu mengekang pemerintahan bersifat autokratik.

Sementara itu, Sultan Ibrahim mengesyorkan supaya pindaan Perlembagaan Persekutuan diperbetulkan sekiranya ia memberi kesan tidak baik pada masa sekarang.

Dalam pada itu, baginda menyeru Kerajaan Persekutuan supaya mencepatkan pembinaan Kompleks Mahkamah Johor Bahru kerana mahkamah sedia ada sudah tidak mampu memenuhi keperluan masyarakat pada masa ini.

"Kerajaan Johor telah sediakan tanah di Kota Iskandar (pembinaan Kompleks Mahkamah Johor Bahru), sementara mahkamah lama saya akan jadikan ia sebuah muzium warisan," titah baginda.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS