Susulan arahan Menteri Kerja Raya supaya PLUS segera merobohkan pondok tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau di Shah Alam, bagi menjamin keselamatan pengguna Lebuhraya Persekutuan, syarikat itu berkata ini hanya akan selesai pada penghujung Mac depan.
Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya masih dalam proses memuktamadkan pemilihan kontraktor berkelayakan bagi pelaksanaan kerja-kerja perobohan itu sejak tender dibuka pada bulan lalu.
“Setelah kontraktor dilantik, kerja-kerja merobohkan struktur fizikal kedua-dua plaza tol itu akan dimulakan selepas Tahun Baharu Cina bulan depan dan berdasarkan jadual, proses perobohan dijangka selesai pada hujung Mac.
“Ini berikutan kerja-kerja tersebut perlu dilakukan secara berperingkat memandangkan ia dilaksanakan dalam persekitaran lalu lintas yang sentiasa bergerak,” katanya.
Beliau berkata kerja-kerja awalan seperti pemindahan peralatan tol, papan tanda serta asset lain akan dilakukan terlebih dahulu sebelum perobohan struktur fizikal bermula.
Menurutnya, PLUS tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan sepanjang kerja-kerja perobohan dijalankan dan semua pengguna lebuh raya terlibat dinasihatkan supaya memperlahankan kenderaan.
Mereka juga diminta mematuhi semua papan tanda keselamatan serta berhati-hati semasa melalui kedua-dua plaza tol tersebut.
Semalam, Datuk Seri Fadillah Yusof meminta PLUS supaya segera merobohkan dua pondok tol berkenaan yang dimansuhkan kutipannya sejak 1 Jan lalu.
Ini berikutan terdapat aduan bahawa ramai pemandu kenderaan memperlahankan kenderaan secara tiba-tiba apabila tiba di pondok tol berkenaan kerana laluannya yang sempit.
Isnin lalu, pondok tol di Plaza Tol Batu Tiga itu meragut nyawa dua sahabat apabila kereta yang dinaiki mereka bersama seorang lagi rakan hilang kawalan, lalu merempuh pondok tol.
Mengulas lanjut, Azman berkata, buat masa ini, semua pengguna diingatkan supaya sentiasa mengurangkan kelajuan kenderaan dan lebih berhati-hati ketika melalui kedua-dua plaza tol itu hingga proses perobohan selesai.
Bermula 1 Jan lalu, kutipan di kedua-dua plaza tol itu dimansuhkan.
