Paling Popular
Terkini

PKR Kelantan menyatakan kesediaan mereka untuk bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berharap diberi peluang oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri.

Pengerusi PKR negeri, Ab Aziz Ab Kadir berkata, selain dari mengekalkan lima kerusi DUN sedia ada PKR turut memohon 10 lagi tambahan kerusi DUN.

Menurutnya ia selari dengan semangat dalam HARAPAN untuk bersama mengembleng tenaga menempuh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

"Sebelum ini PKR Kelantan telah bersetuju hanya bertanding dua kerusi parlimen sahaja iaitu Tanah Merah dan Pasir Mas dan menyerahkan kerusi parlimen Ketereh, Machang dan Tumpat kepada BERSATU secara bertulis kepada PKR pusat.

"Justeru ada kewajaran dengan perkembangan ini setiap parti diberi ruang yang sewajarnya. Tambahan pula negeri Kelantan mempunyai 45 DUN dan diharapkan pimpinan HARAPAN boleh bersetuju dengan pengagihan ini," katanya dalam kenyataan kepada media di Kota Bharu hari ini.

Sebagai rekod, pengagihan kerusi DUN Kelantan antara parti dalam HARAPAN setakat ini belum dimuktamadkan.

Bagaimanapun, Parti Amanah Negara (AMANAH) dikatakan bakal bertanding majoriti kerusi DUN negeri itu berbanding rakan-rakan parti yang lain.

Sementara itu, Ab Aziz berkata, PKR juga sedang berusaha memperkenalkan bakal calon berpotensi di peringkat DUN yang telah dikenal pasti terdiri dari mereka yang mempunyai latar belakang yang baik dan dikenali.

"PKR Kelantan juga berharap semua pihak bertenang dalam isu calon di mana-mana kerusi sehingga pimpinan tertinggi membuat keputusan dan makluman," katanya.

Lihat Komen
ADS