Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Musa Aman bidas pemimpin pembangkang didakwa perkecil peranan RELA

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa hari ini membidas tindakan seorang pemimpin pembangkang di negeri itu yang didakwa memperkecilkan peranan dan sumbangan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Ini bukan cara kita, bukan budaya kita untuk memperkecil-kecilkan orang lain, lebih-lebih lagi anggota RELA.

“Bagi saya, kecil atau besar sumbangan RELA tetap kita hargai kerana peranan mereka itu demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika melancarkan penugasan anggota Rela di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) di Pusat Latihan Rela Negeri Sabah di Tuaran.

Menerusi video yang tular di laman sosial pada 15 Jan lalu, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika berucap dalam program Bicara Presiden Warisan di daerah ini didakwa dilihat mempertikaikan tindakan menempatkan anggota RELA yang tidak mahir menggunakan senjata api untuk penugasan di Esszone.

Mohd Shafie dilaporkan berkata bahawa anggota RELA hanya sesuai untuk perkhidmatan kawalan trafik di majlis-majlis kenduri.

Musa yang kesal dengan kenyataan itu berkata pengiktirafan kerajaan terhadap RELA sebagai satu daripada agensi keselamatan negara harus dibanggakan oleh rakyat keseluruhan.

“Pencapaian RELA sememangnya tidak dapat disangkal lagi… kerajaan berasakan sangatlah baik untuk RELA digemblengkan bersama pasukan dan agensi lain untuk mengawal keselamatan dan keamanan setempat,” katanya.

Ketua Pengarah RELA Zulkifli Abidin yang turut hadir pada majlis itu juga menzahirkan kekesalan terhadap pemimpin pembangkang itu yang memandang rendah anggota jabatan itu tanpa mendapatkan maklumat lanjut berhubung penugasan anggota RELA di Esszone.

“Penugasan RELA di Esszone adalah untuk menjalankan rondaan komuniti setempat selama 24 jam dan bukan penugasan di perbatasan. Penugasan ini tidak memerlukan penggunaan senjata. Tetapi janganlah pandang rendah pada kami dan tak perlu hina kami jika tak sukakan kami,” katanya.

Zulkiflli berkata kehadiran 504 anggota RELA di Esszone sejak 1 Jan lalu mampu memberi impak terhadap usaha mengurangkan kadar jenayah dan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan.

Menurutnya, anggota yang terpilih telah melalui kursus khas penugasan RELA yang dikendalikan pelbagai agensi, antara modul kursus termasuk pengendalian senjata api dan penyaluran maklumat.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS