Paling Popular
Terkini

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyangkal dakwaan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad “merampas” parti itu dan jawatan calon perdana menteri daripada presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka menegaskan bahawa Dr Mahathir, yang merupakan pengerusi BERSATU merupakan satu-satunya calon parti itu untuk jawatan perdana menteri.

Ketua Penerangan BERSATU Datuk Kamaruddin Mohd Nor berkata topik berkenaan calon perdana menteri parti itu tidak dibincangkan di mesyuarat majlis tertinggi pada awal penubuhan parti, sekali gus menafikan dakwaan yang dibuat bekas anggota BERSATU Kamarulazman Habibur Rahman.

“Dalam beberapa bulan pertama, kita lebih bertumpu berkenaan penubuhan parti, mendapatkan penyertaan dan menyelesaikan bahagian.

“Isu berkenaan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri tidak pernah diusulkan, tidak pernah dibincangkan,” kata Kamaruddin.

Awal hari ini, Kamarulzaman mendakwa majlis tertinggi pernah cuba mengetengahkan Muhyiddin.

Beliau turut mendakwa penglibatan Dr Mahathir ke dalam politik dengan menyertai BERSATU mengubah rancangan itu.

Kamarulzaman yang merupakan salah seorang pengasas BERSATU keluar parti April lalu selepas kurang setahun dalam parti.

Muhyiddin ketengahkan Dr Mahathir

Apabila parti akhirnya membincangkan pilihan mereka untuk jawatan calon perdana menteri, Kamaruddin berkata, “calon PM sentiasa Mahathir”.

Sementara itu, ketika dihubungi secara berasingan, seorang lagi anggota majlis tertinggi BERSATU Datuk Dr Rais Hussin memberikan jawapan yang serupa.

“Dr Mahathir sentiasa merupakan calon (perdana menteri) untuk BERSATU. Kita sudah bincangkan ini secara terperincin (dalam mesyuarat).

“Malah, Muhyiddin sendiri yang mengetengahkan Mahathir sebagai calon kita,” kata Rais kepada Malaysiakini.

Rais mendakwa Kamarulzaman sengaja mengadakan “kisah dongeng” sementara Kamaruddin berkata beliau cuba merosakkan imej Dr Mahathir.

Selepas spekulasi berlanjutan beberapa bulan, bekas perdana menteri itu akhirnya diumumkan sebagai bakal perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum akan datang.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS