Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar isu perobohan kuil berusia 80 tahun di Seri Alam, Masai tidak diperbesar-besarkan lagi selepas berkenan menjadi pendamai bagi menyelesaikan isu kontroversi berkenaan.

Menerusi laman Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap beberapa wakil Persatuan Penganut Dewa Shree Sivasakthi Shree Sinnakaruppar di Istana Bukit Pelangi hari ini.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, sambil diiringi Anggota Exco Johor, R Vidyananthan.

"Dalam pertemuan itu, baginda bertitah akan memastikan satu lokasi baharu disediakan oleh kerajaan negeri untuk membina semula kuil itu," jelas kenyataan tersebut.

Sementara itu Sultan Ibrahim dan Tunku Idris masing-masing turut berkenan menawarkan bantuan wang tunai sebanyak RM100,000 dan RM70,000 kepada jawatankuasa kuil untuk menampung kos pemindahan.

"Baginda menggesa semua pihak memberi kerjasama penuh bagi menyelesaikan perkara ini secara baik, sambil menambah ia tidak perlu diperbesar-besarkan lagi," jelas kenyataan tersebut.

Kuil berkenaan sebelum ini dirobohkan pada 11 Januari lalu, dua hari lebih awal daripada tarikh yang dinyatakan dalam perintah mahkamah.

Tanah itu dikatakan milik seorang warga Singapura sejak 1994, namun jawatankuasa kuil menegaskan mereka mempunyai hak ke atas tanah berkenaan kerana ada perjanjian dengan pemilik tanah terdahulu.

Sebelum ini Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan sebidang tanah di Jalan Persisiran, Seri Alam sebagai tapak ganti, namun mendakwa tawaran itu ditolak oleh pengurusan kuil tersebut.

Bagaimanapun Jawatankuasa pengurusan kuil berkata mereka tidak pernah mendapat tawaran sebarang tanah oleh kerajaan negeri secara rasmi.

Susulan itu, jurucakap kerajaan negeri, M Asojan yang juga pengerusi MIC Johor berkata pihak jawatankuasa kuil berkenaan perlu mematuhi prosedur agar kerajaan negeri secara rasmi menawarkan mereka sebidang tanah sebagai tapak ganti.