Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Tindakan terhadap individu lempar kerusi di PPR'

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tindakan akan diambil ke atas individu yang bertanggungjawab mencampak kerusi dari tingkat atas pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai di Pantai Dalam Isnin lepas, hingga menyebabkan kematian seorang remaja lelaki.

"Kami (kementerian) akan mengambil tindakan terutama ke atas individu, (tanpa mengira sesiapa) yang mencampak kerusi, (kerana) ia tidak pernah berlaku sebelum ini, biar proses undang-undang menentukannya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai tragedi berkenaan selepas melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan Putrajaya di Putrajaya, hari ini.

Jelas Tengku Adnan, tindakan perlu diambil kerana ini merupakan kali pertama tindakan membaling barang dari tingkat atas PPR mengakibatkan kematian.

"Kejadian membuang barang dari tingkat atas (PPR) sudah berkali-kali berlaku. Daripada maklumat yang diterima tin sardin dan almari turut dicampak dari tingkat atas," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 8.10 malam Isnin itu, mangsa S. Sathiswaran, 15, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Tengku Adnan berkata Kementerian Wilayah Persekutuan sudah memutuskan supaya jaring tertentu dipasang di PPR sebagai langkah untuk menjaga keselamatan orang ramai daripada menjadi mangsa.

Katanya, arahan sudah pun dikeluarkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memasang jaring keselamatan di tempat-tempat yang strategik di PPR dan difahamkan kerja memasang jaring sudah pun bermula. Kos pemasangan jaring akan ditanggung oleh DBKL.

"Tidak masuk akal namun kami (pihak berkuasa) perlu melaksanakannya,” katanya.

Tengku Adnan juga berkata, berikutan pelbagai masalah yang wujud di PPR, DBKL akan mengadakan sesi penerangan kepada penduduk lebih 80,000 unit rumah PPR yang melibatkan 494 blok di seluruh Kuala Lumpur.

"Penerangan itu akan menjelaskan maklumat terperinci mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dibuat oleh penduduk PPR," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS