Data penderma organ bocor: Polis panggil pengendali laman web
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil pengendali sebuah laman web bagi membantu siasatan kebocoran data peribadi lebih 220,000 penderma organ di negara ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Beliau berkata siasatan yang dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) itu mendapati laman web sama turut mendedahkan kebocoran data 56 juta pelanggan telefon mudah alih tahun lepas.
“Yang hairannya isu sama (pembocoran data peribadi) yang berlaku sebelum ini adalah daripada laman lowyat.net juga. Kita sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini.
“Polis telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi kes terdahulu," katanya pada sidang media Majlis Perjumpaan Ulung Ketua Polis Negara dengan semua Ketua dan Timbalan Jabatan Siasatan Jenayah setiap kontinjen dan daerah di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, media melaporkan forum lowyat.net mendedahkan senarai penderma organ berjumlah lebih 220,000 orang yang mendaftar dengan hospital kerajaan dan pusat pemindahan organ, dipercayai dicuri pada September 2016.
Portal forum itu mendakwa data berkenaan dipercayai dicuri dari hospital-hospital kerajaan dan Pusat Sumber Transplan Nasional.
Kebocoran itu dikatakan turut mendedahkan data pasangan penderma atau waris menyebabkan jumlah keseluruhan lebih 440,000 data peribadi.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata kertas siasatan berhubung isu pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak di sini akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara hari ini.
"Sepatutnya kertas siasatan dihantar pada minggu lepas namun terdapat beberapa perkara perlu diteliti dan pasukan siasatan telah melengkapkannya hari ini," katanya.
Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama yang turut diberikan surat kuasa wakil penuh untuk membangunkan kawasan itu pada 3 Jun 2014.
Pada majlis itu, Mohamad Fuzi turut melancarkan buku panduan ‘Penyiasatan Jenayah dan Arahan Penyiasatan Jenayah’ bertujuan memperkasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) jabatan itu.
Katanya kesemua 14 pusat latihan polis di seluruh negara akan menjadikan buku berkenaan sebagai garis panduan bagi melatih pegawai penyiasat muda baru menamatkan latihan menjadi pegawai JSJ yang terbaik.

