Adalah menjadi hak setiap pemilik pusat beli-belah di negara ini untuk menentukan sama ada imej anjing sempena kedatangan Tahun Baru Cina pada 16 Februari ini digunakan sebagai hiasan premis mereka, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

“Ia merupakan tapak mereka, jadi itu hak merekalah,” katanya ringkas pada sidang media selepas majlis Kesyukuran RELA Malaysia di Putrajaya, hari ini.

Nur Jazlan mengulas tindakan beberapa pusat beli-belah yang dilaporkan cuba mengelak menggunakan imej anjing untuk hiasan premis bagi sambutan kedatangan Tahun Anjing kali ini.

Zodiak Cina menggunakan simbol haiwan yang berbeza dan ia mewakili sifat utama setiap tahun dalam kitaran 12 tahun.

Tahun baru Cina kali ini adalah tahun anjing selepas tahun ayam jantan.

Sebelum ini beberapa gedung beli belah didapati cuba mengelak menggunakan imej anjing kerana tidak mahu tindakan mereka dianggap sebagai menghina umat Islam kerana binatang itu dianggap sebagai “najis”.

Selain anjing, babi yang juga merupakan antara simbol tahun baru Cina sentiasa menjadi kontroversi dan rasa tidak senang di kalangan umat Islam.

Pada Oktober 2014, aktivis Syed Azmi Alhabsi dipaksa meminta maaf selepas dilaporkan menerima ancaman kerana menganjurkan acara “I want to touch a dog” untuk orang Islam.

Pada Jun 2015, pelakon Nur Fazura mencetuskan gempar apabila pengikut media sosial menghentam beliau selepas memuatnaik gambarnya bersama seekor anjing.

Pada Oktober 2016, Auntie Anne's diminta untuk mengubah nama "Pretzel Dog" mereka kepada "Pretzel Sosej".

Pada tahun yang sama, watak separuh lelaki, setengah babi sempena filem Tahun Baru Cina, Monkey King 2 dikeluarkan daripada posternya.