Beberapa ADUN Selangor menuduh Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain bertindak secara tidak demokratik dalam mengendalikan mesyuarat lembaga penuh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin mendakwa Azizi melakukan kesilapan apabila beliau mengarahkan rakaman mesyuarat lembaga yang huru-hara itu dikeluarkan dari laman web majlis berkenaan.

"Ini suatu kesalahan besar oleh Datuk Bandar di bawah kerajaan negeri Selangor yang mengamalkan kelakuan yang tidak demokratik berhubung mesyuarat itu," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di bekas tapak restoran A & W di Lorong Sultan.

Turut hadir ialah ADUN Bukit Gasing Rajiv Risyakaran, ADUN Kampung Tunku Lau Weng San dan juga dua ahli majlis MBPJ yang diperintahkan untuk meninggalkan mesyuarat semalam berikutan percanggahan dengan Datuk Bandar.

"Kami masih mahu memberi dia (Datuk Bandar) peluang, ini mungkin disebabkan suasana hangat ketika itu.

“Namun begitu, ia masih salah, dan tidak boleh dibiarkan berlaku di mana-mana majlis tempatan di bawah kerajaan negeri Selangor untuk mengeluarkan video dari laman web," kata Yeo, sambil menggesa Azizi (foto, bawah)  memuat-naikkan semula video itu.

Sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pentadbiran yang telus, Yeo berkata mereka telah menguatkuasakan dasar di mana semua mesyuarat lembaga penuh harus disiarkan secara langsung dan arkib mesyuarat itu pula dimuat naik dalam talian untuk rujukan masa depan.

Dilaporkan bahawa sekumpulan ahli Majlis Bandar Raya Petaling Jaya bertindak keluar dari mesyuarat lembaga penuh bulanan mereka selepas bantahan mereka mengenai kelulusan untuk pembangunan menara pejabat 20 tingkat bagi menggantikan bekas restoran A & tidak didengar.

[Baca berita penuh]