Salleh: Cari maklumat kalau keliru, bukan rosakkan undi
Mereka yang tidak pasti calon yang mahu diundi dalam pilihan raya umum (PRU) seharusnya mencari lebih banyak maklumat dan bukannya rosakkan undi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Menurut Salleh, merosakkan undi tidak baik untuk demokrasi dan negara.
"Jika ada yang mahu rosakkan undi, tanya diri, untuk apa rosakkan undi? Sekiranya kita kecewa dengan parti politik, merosakkan undi bukanlah jawapannya.
"Sekiranya kita keliru, parti manakah yang terbaik untuk dipilih, maka carilah maklumatnya," katanya menambah teknologi menjadikan makumat di hujung jari.
Maklumat apa yang perlu dicari? Carilah maklumat tentang rekod pemimpin dan parti-parti yang bertanding, tawaran dan agendanya," katanya.
Salleh berkata demikian melalui kenyataan di blognya mengulas berkenaan kempen #undirosak di media sosial.
Salleh berkata pengundi seharusnya memilih kepimpinan yang terbukti kestabilan,yang mengendalikan keharmonian kaum, serta mengutamakan isu-isu penting negara seperti keselamatan negara, terorisme, kemiskinan, dan pembangunan ekonomi.
Kempen #undirosak mula tular di media sosial menggesa pengundi muda untuk merosakkan undi dalam PRU ke-14 akan datang.
Penganjur program berkata kempen itu merupakan bantahan terhadap semua ahli politik selain mendakwa tiada beza antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BN.
Kempen yang dilancarkan pada 7 Jan itu mula menarik perhatian setelah HARAPAN menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri mereka.
Tidak dapat dipastikan pengaruh kempen berkenaan namun ahli politik dan penyokong daripada pembangkang dan kerajaan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengecam kempen itu.

