Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'AMANAH dan Umno berpakat jatuhkan PAS di Kelantan'

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mendedahkan beliau mempunyai maklumat mengenai kerjasama Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Umno di Kelantan.

Menurutnya, wujud perbincangan antara pimpinan kedua-dua parti itu di Kelantan yang bertujuan untuk menjatuhkan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

"Ambo (saya) ada maklumat, pimpinan AMANAH di Kelantan pergi jumpa pimpinan Umno Kelantan dan berpakat.

"Dalam masa sebulan dua yang lepas mereka berpakat untuk jatuhkan PAS di Kelantan," katanya ketika berceramah di majlis Perasmian Bilik Operasi PAS cawangan Panchor, di Kota Bharu, malam tadi.

Timbalan menteri besar Kelantan itu mendakwa, Umno sudah bersetuju untuk memberikan sejumlah wang kepada AMANAH Kelantan sebagai persediaan menghadapi PRU ke-14.

"Umno setuju nak bagi duit kepada AMANAH untuk buat kerja pilihan raya.

"Saya tak mahu sebut pada malam ini siapa pergi jumpa dengan siapa, tetapi maklumat itu ada," katanya ketika mengulas dan menepis dakwaan mengenai wujudnya kerjasama antara PAS dan Umno.

Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor berkata, itu maklumat terbaru yang berlaku dalam senario politik negeri itu hari ini.

AMANAH bincang dengan peguam

Malah beliau memberi jaminan akan bertanggungjawab dengan pendedahan yang dibuat itu.

"Sampai peringkat itu jahatnya puak-puak AMANAH, saya akan bertanggungjawab dengan kenyataan ini.

"Ini nak bagitahu keadaan (sekarang), mereka tuduh kita tak ada bukti, kita ada maklumat. Maklumat itu ada dengan kita.

"Maka sebab itu kita sekarang kena percaya pada pimpinan. Jangan percaya pada media, nak tahu kenyataan sebenar pimpinan kena baca Harakah," ujarnya merujuk akhbar rasmi PAS.

Sementara itu, Pengerusi AMANAH Kelantan, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah (gambar) berkata beliau hanya akan menjawab dakwaan itu selepas berbincang dengan peguam.

"Saya akan bincang dahulu dengan peguam untuk tindakan lanjut, " katanya kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS