Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HARAPAN Terengganu: Manifesto bakal kejutkan PAS dan BN

ULASAN | Rakyat Terengganu boleh merasa lega dan berlapang dada apabila mengetahui hala tuju pembangunan negeri ini untuk tempoh paling kurang 10 tahun akan datang pada pertengahan Mac depan.

Manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) yang sedang dimuktamadkan bukan sahaja untuk pilihan raya umum (PRU) ke-14 tetapi pembangunan jangka panjang Terengganu, yang akan dibentangkan secara rasmi pada 16 Mac 2018 depan.

Pembentangan itu akan dibuat sempena Jelajah HARAPAN yang akan menurunkan lima pimpinan tertinggi HARAPAN pada ceramah perdananya.

Lima pemimpin dimaksudkan ialah Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH)Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Sebanyak lima mesyuarat persediaan manifesto sudah diadakan dan terakhir pada pagi Jumaat 9 Februari.

Kata sepakat sudah dicapai untuk memenuhi syarat asas HARAPAN Pusat yang mengandungi tema, teras dan dasar.

Jawatankuasa Penyediaan Manifesto HARAPAN Terengganu membabitkan dua wakil daripada setiap anggota HARAPAN.

Pengerusi Jawatankuasa Manifesto HARAPAN Terengganu, Azan Ismail berpuas hati dengan semua perbincangan dan mesyuarat itu. Lebih menggembirakan, ia dapat disiapkan seperti yang diminta oleh HARAPAN Pusat dalam konteks kandungan serta masa yang ditetapkan.

Azan yang juga Pengerusi PKR negeri dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bandar menjangkakan manifesto akan dimuktamadkan pada mesyuarat HARAPAN negeri pada bila-bila masa sebelum 13 Februari ini.

Azan dan jawatankuasa pembentukan manifesto menunggu mesyuarat HARAPAN negeri untuk memaklumkan perkara yang sudah dicapai sejauh ini.

Draf terakhir manifesto HARAPAN Terengganu sudah pun dibentang dan dibincang pada mesyuarat khas HARAPAN pada Sabtu, 3 Februari lalu.

Pandangan dan cadangan ahli mesyuarat digabungjalinkan dengan draf asal, khususnya yang membabitkan dasar utama.

Dengan Formula 1:5:10, manifesto HARAPAN sudah pasti akan mengejutkan parti pemerintah Terengganu selain sebuah lagi parti pembangkang pada PRU ke-14 nanti.

Ia bukan sahaja bersifat dinamik khususnya bagi menghadapi cabaran lima tahun ke hadapan tetapi bersifat ‘cakna rakyat’.

Diyakini Umno-BN dan PAS akan terperanjat kerana semua yang ditawarkan adalah hasil daripada rintihan dan suara rakyat Terengganu.

HARAPAN berharap dengan adanya tawaran menarik melalui Manifesto HARAPAN 2018 ini, rakyat Terengganu akan menilai dengan baik arah tuju perjuangan HARAPAN, bukan sekadar menyelesaikan masalah semasa.

Yang nyata, tawaran akan membabitkan semua aspek mengatasi kepayahan rakyat akibat kenaikan kos sara hidup sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Ia juga akan membawa tawaran menarik termasuk kecekapan pengurusan hasil sumber alam disamping menekankan kesimbangan ekonomi dan taraf hidup, termasuk penyelesaian isu pemilikan perumahan.

Sudah pasti HARAPAN tidak akan terlepas pandang isu-isu ke arah memartabatkan Islam, pendidikan, ekonomi wanita dan anak muda serta sumber makanan.

Secara amnya, HARAPAN meletakkan kepentingan rakyat dan kemajuan negeri.


HAMBALI ABDUL LATIFF merupakan Ketua Penerangan Pakatan Harapan Terengganu.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS