Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada caj beg plastik jika BN menang di Selangor

Barisan Nasional Selangor berjanji tidak akan meneruskan caj beg plastik sebanyak 20 sen sekiranya menang di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Ini salah satu manifesto kerajaan BN, dapat balik kerajaan BN Selangor, semua tak payah bayar lagi plastik, mahu tak mahu?," kata Ketua Penerangan BN Selangor, Datuk Satim Diman.

Beliau turut mencabar kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya membina kilang plastiknya sendiri tanpa mengenakan caj tambahan 20 sen kepada penduduk negeri itu.

“Kalau betul dia (Azmin) jaga kebajikan anak muda dia bukalah kilang dekat sini dan kalau saya dekat sini (Sg Pelek) saya buka kilang plastik.

“Kilang plastik kepunyaan kerajaan negeri Selangor, jadi kita pergi kedai tak payah beli plastik. Ini sudah beli barang ditanya pula nak beli plastik atau tidak, kalau mahu 20 sen. Apa punya kerajaan ni?

“Sepatutnya dia tak payah caj 20 sen, dia bina saja kilang dan kasi percuma itu plastik. Inilah kerajaan Pakatan Harapan, mahu pilih lagi?" Soal Satim di hadapan kira-kira 50 penduduk Ladang Fermanagh, Sungai Pelek, di Kuala Langat hari ini.

Selangor menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik dan polisterin setiap hari bagi semua pusat komersial utama mulai 1 Januari lalu, selepas membuat peraturan sama setiap Sabtu sejak 2010.

Bagi pengguna yang tetap ingin menggunakannya, mereka bagaimanapun boleh mendapatkan ia dengan membayar tambahan 20 sen bagi setiap satu beg plastik.

Pada tahun lalu, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata perkara itu bukan pilihan.

Katanya, kempen itu sebenarnya mahu mendidik pengguna membawa beg sendiri ketika membeli belah, dengan tujuan mengurangkan penggunaan bahan plastik dan polisterin yang mencemarkan alam sekitar.

Bagaimanapun, Azmin juga memberitahu bayaran 20 sen daripada dasar bebas beg plastik dan polisterin itu tidak masuk ke kantung kerajaan negeri.

Ia menimbulkan bantahan sesetengah pihak yang mempertikaikan kewajaran larangan itu yang berkata beg plastik sebenarnya masih boleh digunakan dan tidak benar-benar diharamkan.

Terdahulu Satim Diman ikut serta program siri Jelajah Kasih Negeriku Selangor yang merupakan siri program ‘touch point’ Penerangan BN Selangor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Sepat, Kuala Langat yang terletak dalam Parlimen Sepang.

Bantuan hamper makanan dan sejumlah wang tunai turut diagihkan kepada 90 keluarga Ladang Fermanagh, Sg Pelek, Kuala Langat.

 

Lihat Komen
ADS