BN Selangor tidak menamakan calon menteri besarnya untuk negeri itu sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang kerana ingin memastikan individu yang terpilih merupakan benar-benar terbaik serta berkredibiliti.

Menurut sumber yang rapat dengan kepimpinan Umno Selangor, pihaknya ingin memastikan bahawa calon yang dinamakan merupakan adalah pilihan yang tepat dan terbaik untuk ditawarkan kepada negeri berkenaan.

Katanya, BN Selangor kini lebih selesa menantikan tarikh pilihan raya diumumkan terlebih dahulu dan menumpukan kerja-kerja di peringkat akar umbi.

"Senarai calon (menteri besar) kita ada. Tapi kita tak akan umumkan dulu. Buat apa kita nak umumkan awal, nanti macam-macam berlaku.

"Kita mahu memastikan ada calon yang terbaik dan berkredibiliti.

"Jadi lebih baik kita kukuhkan di peringkat bawah dulu, dan bila masanya telah tiba untuk umumkan nama, nama (calon menteri besar) itu diterima oleh semua," ujarnya kepada Malaysiakini.

Sehubungan itu sumber itu berkata BN kini lebih menumpukan kawasan di DUN tertentu yang dilihat berpotensi untuk menang dengan mendekati masyarakat menerusi pelbagai program.

Katanya, apa yang penting ketika ini ialah menawan kembali hati rakyat Selangor terutamanya akar umbi berbanding membuat pelbagai pengumuman.

"Kita sekarang lebih nak mendekati masyarakat akar umbi. Kita guna pendekatan baru untuk pilihan raya kali ini. Sebelum ini, macam-macam kita dah lakukan, tampilkan wajah (calon) baru, yang muda. Tapi apa yang kita dapat?" katanya yang merupakan salah seorang pemimpin senior dalam Umno Selangor.

Sebelum ini, antara tokoh yang disebut-sebut bakal mengisi jawatan menteri besar sekiranya BN menawan semula Selangor ialah Budiman Mohd Zohdi yang memenangi pilihan raya kecil Sungai Besar pada 2016.

Tumpu kawasan Cina, India

Malaysiakini juga difahamkan, kawasan yang menjadi tumpuan BN Selangor pada PRU kali ini ialah kawasan majoriti Melayu dan India.

Ini kerana, ia berdasarkan faktor pada PRU-13 menunjukkan kawasan yang mempunyai majoriti Cina tidak berpihak kepada BN.

Pada PRU berkenaan, meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjadi pengarah pilihan raya BN Selangor, parti itu hanya memenangi 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada jumlah keseluruhan iaitu 56 kerusi.

PKR, DAP dan PAS pada masa itu mengekalkan kuasa di Selangor. Pada PRU12 pula, bukan sahaja Selangor malah BN gagal di beberapa negeri antaranya Kedah dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, untuk pilihan raya umum kali ini, menurut penyelidikan Politweet, BN boleh memenangi 11 kerusi tambahan di DUN Selangor berdasarkan persempadan semula yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada September 2016.

Sebelas kerusi ini akan dimenangi bukan atas sebarang perubahan dalam undi PRU-13 tetapi hanya dengan mengalihkan pengundi ke bahagian pilihan raya yang strategik bagi BN.

Menurut simulasi PRU14 oleh firma kajian itu, BN mampu memenangi antara 17 hingga 23 kerusi daripada keseluruhan 56 DUN kerana peningkatan kerusi yang berisiko tinggi berbanding memenangi hanya 12 DUN pada PRU 2013.

Keputusan tersebut diperolehi daripada 1,000 simulasi yang dijalankan oleh Politweet setelah mengandaikan pertandingan satu lawan satu antara parti pemerintah dan BN di Selangor, sentimen pengundi yang tidak berubah dan peratusan keluar mengundi yang sama seperti PRU13.

Laporan itu turut menekankan PAS mungkin menjadi pihak yang paling banyak rugi kerana berisiko hilang lapan DUN.