Ahli perniagaan dan pemaju diingatkan agar tidak melupakan jasa kerajaan yang berusaha mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif dan selamat untuk memajukan perniagaan.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ramai ahli perniagaan dan pemaju telah lupa bahawa kejayaan yang dikecapi adalah disebabkan peluang dan dasar kerajaan dalam membantu mengembangkan perniagaan masing-masing.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kumpulan berkenaan menyumbang kembali kepada rakyat dan negara.

“Kerajaan ini menyediakan keselamatan serta persekitaran perniagaan yang kondusif agar semua boleh terus berjaya. Saya berani nyatakan ini kerana saya juga seorang perniagaan sebelum ini.

“Jangan lupa (usaha) kerajaan… di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Kita jangan lupa sejarah. Bantulah kembali. Ini tentang kerajaan, masa depan negara,” katanya di Majlis Apresiasi Wilayah Persekutuan 2017, di Putrajaya malam tadi.

Majlis bertujuan menghargai jasa dan sumbangan cemerlang pihak berkepentingan selain memantapkan serta mengeratkan hubungan supaya perkhidmatan terbaik dapat disampaikan kepada rakyat, khususnya warga Wilayah Persekutuan.

Sebanyak 13 anugerah pelbagai kategori disampaikan kepada rakan-rakan strategik dan pihak berkepentingan berkaitan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak komited dalam mendengar denyut nadi serta menyentuh jiwa rakyat bagi memastikan keselesaan rakyat terjamin.

“Walaupun macam-macam orang cakap, fitnah dan tohmahan kepada perdana menteri tetapi beliau merupakan antara perdana menteri terbaik,” katanya.

- Bernama