MCA tiada kuasa, gagal dapatkan permohonan maaf Umno - DAP
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membidas kabinet dan MCA kerana gagal menyelesaikan kontroversi susulan serangan Umno terhadap jutawan perniagaan Robert Kuok.
Beliau berkata sehingga hari ini kabinet tidak mempunyai pendirian jelas mengenai Kuok tetapi membenarkan menteri Umno untuk terus menyerang bekas raja gula itu.
Lim mendakwa isu itu menyebabkan masyarakat Cina berang kepada BN dan MCA kerana serangan berkenaan adalah berdasarkan berita palsu.
Menurut ketua menteri Pulau Pinang itu, MCA gagal meminta Umno untuk menarik balik kenyataan terhadap Kuok, termasuk tuduhan tidak patriotik.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz bahkan menyifatkan Kuok sebagai pondan dan ayam betina kerana didakwa menaja parti DAP.
"Mungkin MCA okay dengan berita palsu jika ia mengenai DAP.
“BN dan MCA gagal mendapatkan menteri-menteri Umno - ramai di kalangan mereka - yang menyerang Kuok berdasarkan berita palsu untuk memohon maaf kepadanya," kata Lim di Pulau Pinang hari ini.
"Kenapa mereka tidak boleh melakukannya? Ini menunjukkan bahawa MCA tidak relevan dan tidak berkuasa dalam kabinet."
Lim mengulas laporan berita akhbar berbahasa Cina bahawa mesyuarat mingguan jemaah menteri semalam dilaporkan tegang dengan pertikaman lidah antara menteri-menteri Umno seperti Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan rakan-rakan mereka dari MCA dan Gerakan.
Menurut laporan akhbar, apabila kedua-dua enggan mengalah, laporan itu mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terpaksa campur tangan untuk menenangkan keadaan.
Ini susulan dakwaan kononnya jutawan yang berpangkalan di Hong Kong itu menaja DAP untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Najib.
Kuok dengan tegas menafikan dakwaan itu, manakala halaman 206 memoirnya, menyatakan bahawa beliau pernah "menyumbangkan dana," dengan gembira dan rela" kepada Umno dan MCA.
"Ini membuatkan saya sedih kerana Kuok tidak pernah memberikan sebarang wang kepada DAP tetapi kami pula diserang.
"Kuok bukan satu-satunya mangsa di sini kerana DAP juga menjadi mangsa, kerana kami diserang berdasarkan berita palsu," katanya.

