Keputusan mahkamah tinggi ketepikan perintah reman Phee kekal
Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengetepikan perintah reman lima hari ke atas anggota Exco negeri Pulau Pinang Phee Boon Poh dan dua individu lagi.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Wira Mohtarudin Baki, Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara menolak rayuan pendakwaan.
"Kami dapati tiada merit dalam rayuan itu," kata Mohtarudin.
Pada Ogos tahun lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rsuah Malaysia (SPRM) memperoleh perintah reman terhadap Phee dan seorang bapa serta anaknya untuk membantu siasatan kes sebuah kilang yang didakwa beroperasi secara haram di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang sejak 10 tahun lepas.
Phee dan dua individu itu, menerusi peguam mereka, memohon kepada Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang bagi semakan perintah mahkamah majistret yang membenarkan perintah reman itu kepada SPRM.
Pada 14 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan mereka dan mengetepikan perintah reman yang diperoleh terhadap tiga individu itu.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Abdul Wahab Mohamed menegaskan bahawa penolong pendaftar kanan tidak mematuhi Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah semasa beliau membenarkan perintah reman tanpa membenarkan peguambela untuk berhujah berhubung merit kes itu.
Beliau berkata Phee dan dua individu itu dinafikan keadilan asasi dan perbicaraan yang adil, oleh itu mengakibatkan salah laksana keadilan yang serius dan prejudis kepada mereka.
Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Phee berhujah mahkamah tidak seharusnya melayani rayuan pendakwaan oleh kerana responden telahpun dibebaskan dan ini menyebabkan perkara itu bersifat akademik.
Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron pula berhujah perkara itu masih merupakan isu ‘semasa’ disebabkan keputusan mahkamah akan menjadi panduan bagi prosiding reman yang akan datang.
- Bernama

