GLOBAL |  Kerajaan Indonesia mungkin membenarkan pemimpin kumpulan militan Abu Bakar Baasyir ditahan di rumahnya.

Menteri Pertahanan Ryamizard Ryacudu berkata keputusan itu - jika dipersetujui nanti - dibuat atas pertimbangan kemanusiaan.

Bagaimanapun katanya belum ada kata putus diberi Presiden Joko Widodo mengenai keringanan hukuman berkenaan.

"Yang penting dia ditahan di rumah saja lebih bagus," katanya seperti dilapor Tempo hari ini.

Sebelum itu Ryamizard bertemu Jokowi di Kompleks Istana Kepresidenan, Jakarta.

Ketika ini Abu Bakar ditahan di Penjara Gunung Sindur di Solo.

Mengikut rencana berkenaan jika dibenarkan Abu Bakar akan dipindahkan ke Solo, iaitu daerah asal Abu Bakar.

Kata Ryamizard Presiden Jokowi menunjukkan kebimbangan terhadap keadaan kesihatan Abu Bakar, 79, yang tidak mengizinkan.

"Kalau terus ditempatkan di dalam penjara, apa pandangan dunia kepada Indonesia," katanya.


Baca Mas Selamat ditahan bawah ISA


Bagaimanapun kata Ryamizard kata putus akan diberikan bergantung kepada pandangan daripada polis serta Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia.

"Saya cuma melaksanakannya saja," katanya.

Turut diambil kira ialah janji Abu Bakar untuk tidak lagi mengulangi perbuatan yang menyebabkan dia dipenjara.

Ketika ini keadaan kesihatan Abu Bakar dilaporkan merosot akibat masalah pembuluh darah. Dia sudah dirujuk ke Hospital Cipto Mangunkusumo di Jakarta.

Dia sebelum ini disabitkan atas kesalahan terbabit dalam kegiatan pengganas. Hakim memutuskan Abu Bakar dihukum penjara 15 tahun sejak 2011.

Asalnya dia ditahan di Penjara Nusakambangan di Jawa Tengah sebelum dipindahkan ke Bogor atas faktor kesihatan.

Rayuan supaya Abu Bakar dibenarkan menjadi tahanan rumah turut dibuat Ketua Majlis Ulama Indonesia Ma'ruf Amin.