Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tidak seperti sesetengah negeri Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan mengesahkan isu pengagihan kerusi antara parti kompenan gabungan itu kini sudah diselesaikan.

Pengerusinya, Husam Musa, bagaimanapun berkata persetujuan itu akan dimaklumkan terlebih dulu kepada Majlis Presiden HARAPAN sebelum diumumkan secara rasmi.

"Pembahagian telah selesaikan, dan menjadi amalan kami, selepas rundingan dimuktamadkan kita akan angkat (dimaklumkan) kepada Majlis Presiden HARAPAN.

"Jika (agihan) kerusi ini disahkan kita akan membuat pengumuman rasmi nanti, " katanya kepada media ketika menghadiri perasmian bilik operasi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Khatib Ali, di Kota Bharu, malam tadi.

Husam yang juga naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, rundingan kerusi HARAPAN Kelantan berjaya dibuat secara seimbang dan dalam suasana harmoni.

"Oleh kerana perkara ini belum diputuskan Majlis Presiden HARAPAN saya tidak berhasrat untuk umumkan kerana akan mendahului pimpinan tertinggi," katanya.

Pengagihan kerusi sesama parti HARAPAN kadang-kadang menjadi duri dalam daging apabila persetujuan sukar dicapai.

Di sesetengah negeri - seperti di Selangor - isu berkenaan pernah mencetuskan perbalahan terbuka dan sekali gus mencalarkan imej HARAPAN ketika tarikh pilihan raya umum (PRU) semakin hampir.

Dijangka kejutkan PAS

Ketegangan itu juga dipercayai akan memberi kesan terhadap keyakinan masyarakat untuk memilih HARAPAN semasa PRU nanti.

Sepatutnya pembahagian kerusi di peringkat negeri diselesaikan oleh pimpinan setempat namun jika menemui jalan buntu, ia akan dirujuk kepada kepimpinan tertinggi untuk diselesaikan.

Malaysiakini semalam melaporkan Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan digambarkan akan bertanding di 23 kerusi, PKR memperoleh 10 kerusi, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bertanding 12 kerusi.


Baca Azmin positif rundingan kerusi di Selangor


DAP yang turut menjadi anggota komponen HARAPAN dilaporkan tidak mendapat kerusi di Kelantan - sebuah negeri yang didominasi secara ketara oleh masyarakat Melayu.

Husam yang juga naib presiden AMANAH berkata pembahagian kerusi di Kelantan dianggap seimbang walaupun PAS pernah mempersendakan mereka.

"Pada suatu masa dahulu pemimpin PAS kata AMANAH ini bukan sahaja tak boleh cari kerusi, nak cari calon pun susah, tapi sekarang alhamdulillah kita dah selesai," katanya.

Husam berkata, AMANAH Kelantan mempunyai senarai calon yang berwibawa dan mampu mentadbir Kelantan dengan lebih baik kerana mereka memiliki latar belakang yang pelbagai serta mewakili lapisan usia yang rencam.

"Yang pasti barisan calon kita ini akan memeranjatkan PAS," tegasnya yang juga anggota dewan undangan negeri Salor.

Lihat Komen
ADS