Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Merujuk peta Map of Johor Territory 1893 bersumberkan State Library of New South Wales, kita mengesan dua “police station” atau rumah pasung atau juga dikenali sebagai balai polis iaitu di Tanjung Telaga, Minyak Beku (berhadapan Pulau Sialu) dan Bandar Penggaram (kini dijadikan Wisma Sejarah Batu Pahat) tercatat tarikh “1913”.

Tercatat juga balai polis di beberapa lokasi strategik lain di pesisir sungai dan pesisir laut di seluruh Johor seperti Kuala Endau, Kuala Sembrong, Padang, Tanjung Kupang dan Lenga yang menunjukkan pasukan polis telah wujud secara rasmi di negeri itu Johor sebelum ketibaan penasihat Inggeris pada 1914.

Apakah wujud lagi kedua balai polis yang bersejarah seperti direkod dalam peta pada 1893 itu? Saya menjawab: ya dan tidak.

Pertama saya jawab "ya" kerana kesan runtuhan bangunan Balai Polis Minyak Beku 1893 ini masih boleh dilihat namun perlukan kajian mendalam oleh pihak berkuasa.

Saya hanya menyedari maklumat ini setelah meneliti dua dokumen sokongan iaitu buku “Ringkasan Tawarikh Orang-Orang Kaya dan Penghulu-Penghulu Batu Pahat" terbitan 1955 dan "Kisah Pelayaran Munshi Muhammad Ibrahim" (1980).

Ini juga menjawab kemusykilan kami berkenaan sebuah runtuhan binaan batu berhadapan Pulau Sialu yang ditemui di kaki bukit Tanjung Telaga, Pantai Minyak Beku pada 1 Januari 2017.

Oleh kerana tiada papan tanda atau catatan bertulis, kami percaya ia adalah bekas kubu diguna tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua atau bekas pejabat kuari pada kurun ke-20.

Ketika ini bangunan berkenaan terbiar dan dipenuhi pepohon liar dengan koordinat 1°47' 29.2"N 102°53'14.8"E.

Jawapan kedua adalah "tidak" kerana Balai Polis Bandar Penggaram 1893 mungkin telah diganti dengan balai polis baru yang bertarikh 1913.

Hari ini bangunan berkenaan telah diubah suai menjadi Wisma Sejarah Batu Pahat yang diurus oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Batu Pahat.

Kedudukan Wisma Sejarah Batu Pahat adalah di persimpangan Jalan Pejabat dan Jalan Rahmat serta bertentang dengan Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Batu Pahat.

Dipercayai terdapat dua meriam tembaga pernah dipamer di hadapan Balai Polis Bandar Penggaram ini pada 1894 seperti dicatat dalam buku “Kisah Pelayaran Muhammad Ibrahim Munsyi” tetapi ia telah “hilang”.

Kali terakhir ia dipamerkan di hadapan Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Batu Pahat (dahulunya ialah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat) pada sekitar 1980-an.

Maka jelaslah bahawa “police station” Batu Pahat seperti dicatat dalam peta 1893 benar-benar wujud walau mungkin telah berubah fungsi atau ditinggalkan tanpa diselenggara sebagai warisan berharga.

Papan tanda sejarah perlu dibuat setelah kajian terperinci dilakukan sebagai tanda kesungguhan pihak berkuasa memberi maklumat kepada orang awam.

Tidak ramai tahu bahawa Dato’ Bentara Luar Muhamad Salleh Perang pernah menjadi Pesuruhjaya Polis Johor di antara 1868 hingga 1883, dan turut melakar peta Johor yang pertama di antara 1874 hingga 1877.

Ia kemudian diikuti oleh Harry Lake pada 1893.

Kerja mengukur Bandar Penggaram juga dilakukan sendiri oleh Muhammad Salleh pada penghujung 1893 sebelum beliau secara rasmi menjadi wakil raja memerintah Batu Pahat mulai 1 Januari 1894 hingga 1912.

Isu “kehilangan” dua buah meriam tembaga yang bersejarah tersebut perlu diambil perhatian serius oleh pihak berkuasa termasuk Jabatan Warisan Negara, Yayasan Warisan Johor, Pejabat Exco Warisan Negeri Johor, Pejabat Daerah Batu Pahat, Majlis Perbandaran Batu Pahat, Polis Diraja Malaysia dan Persatuan Sejarah Malaysia Batu Pahat.

Sekiranya dijumpai kelak ia wajar dipamer semula di hadapan Wisma Sejarah Batu Pahat (tapak Balai Polis Bandar Penggaram) seperti pernah berlaku pada 1 Januari 1894.


MOHD AZLAN MOHD SHARIF ialah pengkaji sejarah bebas dan aktivis masyarakat.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 

Berkaitan:
Batu Pahat kurun ke-20: 'Arigato', Jepun
Rio Fermoso: Kenapa saya sahaja yang tahu?

Batu Aceh yang 'hilang' di celah kilang & kondo

Lihat Komen
ADS