Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sumber-sumber saya sedia ke mahkamah bersama SPRM'
Diterbitkan:  Mar 7, 2018 3:36 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Pemimpin pembangkang Kelantan Husam Musa berkata sumber-sumbernya bersedia tampil di mahkamah dalam isu dakwaan keraguan terhadap satu tender projek bekalan air syarikat Air Kelantan Sdn Bhd.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu bagaimanapun berkata terpulanglah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memutuskannya, jika perlu.

"Untuk makluman SPRM, sumber-sumber saya ini telah bersedia menjadi saksi di mahkamah jika diperlukan oleh SPRM.

"Sumber-sumber saya telah menyimpan kemas dokumen yang dikatakan hilang, ketika siasatan awal dilakukan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Husam mendakwa terdapat keraguan dalam pelantikan kontraktor projek reka dan bina mekanikal dan elektrikal Fasa II (Pakej 1) Merbau Condong, Machang.

Projek RM27.1 juta itu didakwa ditawarkan kepada Cdah Construction Jangka Prestasi JV Sdn Bhd, syarikat yang dikatakan tidak wujud ketika surat tawaran dikeluarkan pada 22 Januari 2015.

AKSB, syarikat milik kerajaan negeri itu, bagaimanapun semalam menafikan dakwaan itu sebaliknya menjelaskan syarikat berkenaan hanya "menukar nama".


Sementara itu, Husam yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) Salor berkata, SPRM boleh menghubunginya jika mahu berhubung dengan sumber-sumber itu.

"Rakyat Kelantan yang dinafikan bekalan air yang memuaskan berhak melihat siasatan dilakukan ke akar umbi.

"Saya yakin, rakyat Kelantan mampu lakukannya," tegasnya.

Semalam, Husam berkata tiada keperluan untuk beliau membuat laporan SPRM kerana suruhanjaya itu boleh bertindak sendiri susulan pendedahan yang dibuat.

"Kalau berlaku kebakaran, takkan bomba yang kebetulan lalau di lokasi kejadian tak mahu bertindak sebab tak ada laporan.

"Bomba pastinya akan bertindak memadamkan api kebakaran, " katanya.

Malaysiakini telah menghubungi syarikat kontraktor itu tetapi tidak berjawab.

Kunjungan ke syarikat itu di kawasan rumah kedai di tingkat atas di Kampung Tapang, Jalan Panji Kota Bharu juga mendapati pintu pagarnya berkunci.

Lihat Komen
ADS