Berita Malaysiakini

12 lokasi berisiko aktiviti air dikenal pasti

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti 12 lokasi yang berisiko tinggi bagi aktiviti air, kata menteri berkenaan Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata KPKT menerusi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti lokasi 'hotspot' itu berdasarkan insiden mati lemas yang melibatkan lebih daripada lima mangsa.

Beliau berkata antara lokasi berkenaan ialah sungai yang dikategorikan kawasan berisiko tinggi iaitu Sungai Kampung Batu Payung, Tawau, Sabah yang meragut 15 nyawa dan Sungai SKC Kampung Timah, Selangor (tujuh nyawa), Sungai Kampung Sabak, Pangkalan Chepa, Kelantan (enam nyawa), Sungai Chiling (enam nyawa) dan Sungai Gasi (lima nyawa) di Selangor.

Kawasan berisiko tinggi lain ialah Air Terjun Sungai Sendat, Selangor yang meragut 12 nyawa, Air Terjun Lata Berembun, Raub (10 nyawa), Air Terjun Chamang, Pahang (lima nyawa), Pantai Nipah, Kelantan (14 nyawa), muara Tok Bali, Kelantan (tujuh nyawa), Teluk Bahang, Pulau Pinang (tujuh nyawa) serta Empangan Semenyih, Selangor (10 nyawa).

"Saya telah mengarahkan JBPM untuk mengawasi kawasan berisiko tinggi ini pada musim cuti persekolahan di mana kes mati lemas didapati kerap berlaku,”katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) di Putrajaya semalam.

Noh berkata berdasarkan data JBPM, dalam dua bulan pertama tahun ini, sebanyak 65 insiden mati lemas dilaporkan berlaku di badan air atau kawasan rekreasi.

Daripada jumlah itu, sebanyak 42 insiden berlaku di kawasan sungai/tali air, kawasan pantai (11 kes), kawasan air terjun (lapan kes) dan kawasan tasik/ lombong (empat kes).

“Sebanyak 327 kes lemas di badan air dan rekreasi dilaporkan tahun lepas berbanding 260 kes pada 2016,” katanya.

Noh berkata KPKT bercadang menguatkuasakan undang-undang kecil untuk mengambil tindakan terhadap individu yang melakukan aktiviti air di kawasan larangan .

“Tidak dapat dinafikan segelintir pengunjung tidak mengambil peduli papan tanda di kawasan berisiko tinggi yang melarang aktiviti air. Sehubungan itu, kementerian berpandangan bahawa hukuman dan denda perlu diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang kecil,” katanya.

Beliau memberitahu bahawa ia adalah antara perkara yang terkandung dalam Pelan Tindakan Keselamatan Aktiviti Air.

Dalam mesyuarat semalam, Noh berkata Pelan Tindakan Keselamatan Aktiviti Air telah diluluskan bagi memupuk kesedaran keselamatan air secara holistik sebagai usaha untuk mengurangkan insiden kejadian lemas di negara ini.

Penggunaan papan tanda di kawasan berisiko tinggi adalah sebagai panduan keselamatan di lokasi badan air atau rekreasi selain menggantikan papan tanda uzur oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi bertanggungjawab.

“KPKT juga mencadangkan agar Kementerian Pendidikan mewujudkan kurikulum di bawah pendidikan jasmani supaya pelajar diberi pendedahan mengenai aktiviti air untuk menangani isu lemas khususnya dalam kalangan pelajar,” katanya.

Noh berkata KPKT juga bercadang mewujudkan pusat data melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama-sama Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengumpul data-data penting dalam usaha mengurangkan insiden lemas.

Selain itu, KPKT akan membentang Pelan Tindakan Jangka Panjang dan Jangka Pendek pada mesyuarat Kabinet dan mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan untuk kelulusan sebelum diguna pakai dalam usaha mengurangkan insiden kejadian lemas, katanya.

KPKT juga akan mengadakan Program Kesedaran Keselamatan Air di Pantai Cahaya Negeri, Batu 5, Port Dickson pada 16 Mac ini.

- Bernama