Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membidas amalan politik PAS yang sanggup menjadikan isteri sebagai cagaran.

Keadaan itu katanya, berbeza sama sekali dengan pendekatan diambil HARAPAN yang lebih memartabatkan kaum hawa.

"Bagaimana kita boleh buat begitu kepada isteri yang sama-sama membina sebuah keluarga, saya tak boleh bayangkan.

"Kalau begitulah cara mentadbir keluarga sendiri untuk dikaitkan dengan politik, ini satu cara kita tak boleh terima," kata Azizah yang juga Presiden PKR ketika menyampaikan ceramah di Bachok, Kelantan, malam tadi.

Terdahulu, isu tersebut disentuh Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Hazmi Hassan yang bertindak sebagai pengerusi majlis Jelajah HARAPAN peringkat negeri Kelantan.

Katanya, HARAPAN bukan sahaja mengangkat wanita sebagai calon timbalan perdana menteri malah diberi keistimewaan melalui manifesto untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Kalau dalam PAS mereka cagar isteri untuk pilihan raya, dia cagar isteri dengan baiah talak tiga.

"Berbeza dengan kita, mengangkat kaum wanita sekadar menawarkan jawatan timbalan perdana menteri, bahkan kita menawarkan caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) kepada suri rumah," katanya.

Sebagai rekod, baiah taklik talak tiga itu diperkenalkan PAS dan diamalkan di negeri Kelantan pada pilihan raya umum lalu.

Keluar mengundi

Ia bertujuan mengikat seseorang wakil rakyat supaya tidak mengkhianati parti tersebut.

Sementara itu, Dr Wan Azizah menyeru rakyat Kelantan supaya keluar mengundi bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Katanya, kerajaan yang memerintah kini menggunakan pelbagai helah untuk kekal berkuasa termasuk melalui sistem undi pos.

"Pada pilihan raya lalu, pengundi pos hanya 400,000 orang. Tetapi kini sudah bertambah kepada 800,000 pengundi," katanya yang menyifatkan undi pos berisiko untuk manipulasi sistem pilihan raya.
 

Lihat Komen
ADS