Umum bertanding di Johor, air mata Yeo mengalir
ADUN Damansara Utama Yeo Bee dari DAP tidak dapat menahan air mata ketika mengumumkan keputusan untuk bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Meskipun beliau sendiri berasal dari Segamat, Yeo mengaku sedih apabila terpaksa berpisah dengan penduduk di kawasannya.
"Saya ingin umumkan kepada penduduk Damansara Utama, pengundi saya, bahawa saya telah putuskan untuk terima cadangan parti agar keluar dari kawasan ini dan berpindah ke Johor untuk bertanding di sana," katanya kepada kira-kira 1,000 hadirin ketika melancarkan buku "Reimagining Malaysia" malam ini.
Yeo berkata Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua memberitahu agar beliau sendiri mengucapkan selamat tinggal kepada penduduk di kawasannya.
"Saya kata saya mahu (lakukannya melalui) video kerana saya tahu saya tak dapat menahan air mata saya.
"Melihat wajah yang biasa ketika saya pergi ke program penduduk.
"Lima tahun yang lalu saya melihat hubungan seorang ahli politik dan pengundi, tapi sekarang saya tak lagi melihat anda sebagai pengundi, tetapi sebagai kawan yang sangat hargai," katanya sambil disambut tepukan daripada mereka yang hadir.
Yeo berkata keputusan itu tidak mudah dan menyatakan beliau menyediakan skrip ucapan terlebih dahulu kerana bimbang tidak dapat mengawal emosi.
Namun ketika meminta tisu, Yeo sempat bergurau dengan mengatakan tidak elok bergambar dalam keadaan mengalirkan air mata.
Yeo, yang mengaku mahu menetap di Lembah Klang berkata beliau sedar bahawa Johor akan menjadi medan pertempuran yang sengit bagi pembangkang pada PRU14.
"Ketika saya buat keputusan, saya baca semula bab terakhir dalam buku saya, tentang mengapa saya memutuskan untuk masuk politik.
"Saya sedar ia bukan langsung mengenai keselesaan, tapi keyakinan bahawa saya mahu lakukan yang terbaik untuk perubahan di negara ini.
"Saya mahu katakan ya, kepada perkara yang akan mengubah bukan sahaja kehidupan kita, tetapi juga generasi akan datang.
"Saya percaya ini hanya dapat dilakukan dengan keluar dari zon selesa saya ke Johor, dan dengan itu dapat menjadikan Malaysia sebuah tempat yang lebih baik," katanya.
Menjawab spekulasi bahawa Yeo akan bertanding di kawasan Parlimen Bakri, penyandang kerusi itu, Er Teck Hwa berkata beliau akan patuh arahan parti untuk berpindah ke mana-mana kerusi, termasuk di kawasan DUN.
Ditanya kemungkinan tidak dicalonkan, anggota parlimen selama dua penggal itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.