Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
2 sebab usul pemulangan RM430 juta dana berkaitan 1MDB ditolak
Diterbitkan:  Mar 15, 2018 9:32 PM
Dikemaskini: 1:40 PM

Usul untuk mengembalikan CHF104 million (RM430 juta) yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB ditolak atas dua sebab, menurut Setiausaha Antarabangsa Parti Sosial Demokrat (SDP) Peter Hug.

Beliau yang membentangkan usul itu berkata, menteri luar Switzerland berkata usul itu "agak umum" selain soal pemisahan kuasa.

"Kerajaan Switzerland mengiktiraf prinsip pemulangan. Dalam kes serupa, kami telah memulangkan aset yang dirampas jika ast tersebut berasal dari luar negara.

"Namun kerajaan Switzerland mengkritik perangkaan usul itu yang agak terbuka, umum, dan mencadangkan usul baru yang lebih fokus.

"(Sebab kedua) pemisahan kuasa; sistem kehakiman yang memutuskan sama ada aset rampasan yang berasal dari Malaysia akan dipulangkan atau tidak. Soal ini masih terbuka kerana prosedur perundangan belum ditutup, dan kami perlu menunggu keputusan akhir Mahkamah Pentadbiran Persekutuan," kata Hug kepada Malaysiakini menerusi emel.

Beliau menegaskan usaha akan tetap diteruskan.

"secara umum, kami belum mendengar kata putus. Mobilisasi di Malaysia memberi kesan, sangat penting untuk mengekalkan tekanan politik.

"Saya optimis aset 1MDB yang dirampas akhirnya akan dipulangkan kepada rakyat Malaysia. Ini adalah matlamat SDP Switzerland dan kami akan lakukan yang terbaik untuk meneruskannya."

Hari ini majoriti anggota Parlimen Switzerland mengundi untuk menentang usul pemulangan aset tersebut kepada Malaysia. Sejumlah 138 anggota parlimen mengundi tidak setuju manakala 53 mengundi bersetuju.

Anggota parlimen pembangkang dan NGO di Malaysia melobi agar wang tersebut dipulangkan kepada "mereka yang berhak", iaitu rakyat Malaysia.

Kerajaan Switzerland merampas dana daripada tiga bank - Bank BSI, Coutts & Co dan Bank Falcon - selepas terbabit mencuci wang yang dikaitkan dengan 1MDB.

Ketiga-tiga bank kini membuat rayuan berhubung rampasan itu di Mahkamah Pentadbiran Persekutuan.

Menteri Kewangan Switzerland Ueli Maurer sebelum ini berkata dana tersebut disalurkan kepada perbendaharaan negara kerana tiada pihak yang menuntutnya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS