BERITA Malaysiakini

‘Nasi bukan saja jadi bubur tapi sudah basi’

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa membidas dua bekas menteri kabinet yang dakwanya bersikap berat sebelah dalam menyuarakan isu berkaitan dengan kerajaan sekarang.

Beliau mendakwa, kedua-dua mereka - Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rais Yatim - kini bersuara kononnya atas nama kebenaran tetapi berkemungkinan juga mempunyai perancangan dan niat tertentu.

“Daripada rungutan mereka, ternyata mereka sudah out of touch dengan urusan pentadbiran dan kerajaan.

“Mereka juga kelihatan masih terikat dengan pendewaan personaliti (personality cult) bos lama,yang juga bos saya dulu,” katanya merujuk kepada peranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini mengetuai gabungan pembangkang, Pakatan Harapan.

Annuar berkata, berkemungkinan juga ia satu perancangan dan muslihat yang sengaja diatur oleh pasukan media Dr Mahathir, yang kelihatan bersungguh-sungguh mengatur media blitz dalam dan luar negara menjelang PRU14.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara yang disiarkan di akhbar Sinar Harian hari ini.

Bakar jambatan

Menurut ketua penerangan Umno itu, strategi kedua-dua bekas menteri kabinet itu sudah lama dapat dibaca dan tidak akan berjaya.

“Bukan saja motifnya tidak sejujur yang cuba digambarkan, tetapi juga status ‘sudah luput’ mereka, dan ketiadaan locus standi menjadikan kenyataan mereka sebenarnya kurang wibawa, malah mempunyai ulterior motive.

“Apa lagi apabila mereka mempunyai rekod sering bakar jambatan. Sementara nasi bukan saja menjadi bubur tapi juga sudah pun basi.

Annuar seterusnya melemparkan lima soalan kepada kedua-dua bekas pemimpin kanan Umno itu

“Sebelum ini, ketika ada yang sibuk membela kroni dan keluarga,isteri, suami dan anak sendiri, di mana pendirian kalian?

“Sebelum ini, ketika ada yang menjual perjuangan kepada Malaysian Malaysia DAP yang durjana, di mana kalian?

“Sebelum ini ketika ada yang sewenang-wenang menuduh orang sebagai perompak dan pencuri tanpa secebis bukti, di mana kalian?

“Sebelum ini ketika mahkamah syariah dan Islam dipersenda dan hal agama tidak dibela, di mana suara kalian?

“Dan kini ketika segala hipokrasi, U- turn, matlamat menghalal cara, di mana kalian?” soalnya.

Menurut Annuar “orang perjuangan harus istiqamah, berjuang atas prinsip dan bukannya 'personality cult' atau bernostalgia dengan legasi lama”.

Sebaliknya, kata beliau, mereka sepatutnya mengutamakan kepentingan ramai, bukan kepentingan individu.

“Kita harus beristiqamah bersama perjuangan bukan U- turn berkali-kali sebagai super Marchiavelli,” katanya.

Kedua-dua Rafidah dan Rais sejak akhir-akhir ini lantang membincangkan isu skandar 1MDB.

Rafidah bekas menteri perdagangan dan perindustrian serta bekas ketua Wanita Umno antara lain mengaitkan soal amanah, tanggungjawab, perhatian global dan kesan kesan buruk hutang 1MDB dengan kewibawaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Rais pula yang kini adalah penasihat sosiobudaya kerajaan dan bekas menteri undang-undang dan bekas menteri penerangan, pula meluahkan rasa hairan, geram dan marahnya dengan ketiadaan tindakan kerajaan terhadap kapal mewah Equanimity yang disita oleh pihak berkuasa Indonesia.