Ulasan Malaysiakini

Rais: Najib layak jadi tokoh berita palsu Asia

Diterbitkan  |  Dikemaskini

ULASAN | Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu berhenti membohongi rakyat kerana berdasarkan kenyataan-kenyataan beliau yang terkini beliau hampir layak menjadi menjadi tokoh berita palsu Asia.

Pada 30 Mac 2018, beliau dilaporkan berkata “Saya telah meneliti manifesto pihak sebelah sana (Pakatan Harapan). Manifesto mereka mengandungi 60 janji tetapi hanya 1 janji yang menyebut ekonomi Bumiputera. Itu pun janji nombor 30.”

Tuduhan ini ada satu kepalsuan yang berpunca daripada pemikiran sempit Najib. Beliau gagal memahami bahawa Buku Harapan keseluruhannya akan membawa faedah positif yang tuntas kepada warga Bumiputera di Malaysia.

Dalam Teras Satu Buku Harapan, kami menjanjikan 10 langkah untuk meringankan bebanan kehidupan rakyat. Ini bermula dengan penghapusan GST, iaitu suatu cukai yang membebankan yang diperkenalkan oleh Najib tiga tahun lalu.

Kami juga, antara lain, akan menstabilkan harga petrol, memberikan subsidi secara bersasar, menghapuskan kutipan tol, memperbaiki kualiti pengangkutan awam, mempertingkat jumlah rumah mampu milik dan mampu sewa, serta meringankan bebanan kos perkhidmatan kesihatan.

Semua langkah-langkah dalam Teras Satu Buku Harapan akan memberi faedah secara langsung kepada 19.7 juta warga Bumiputera di Malaysia.

Manfaat kepada bumiputera

Dalam Teras Dua Buku Harapan, kami menjanjikan 19 langkah untuk mereformasi institusi-institusi penting dalam pentadbiran negara.

Ini termasuklah memperkukuh agensi pencegahan rasuah supaya Najib dan kuncu-kuncunya tidak boleh terus bermaharajalela dengan wang rakyat, menyelesaikan skandal 1MDB, dan skandal-skandal yang dimulakan di bawah pentadbiran Najib dalam agensi-agensi Bumiputera seperti Felda, MARA dan Tabung Haji, memperkasa perkhidmatan awam yang majoriti anggotanya adalah Bumiputera, dan lain-lain lagi.

Semua langkah reformasi institusi yang akan kami laksanakan akan memberi faedah langsung kepada 19.7 juta warga Bumiputera di Malaysia hasil dari pentadbiran kami yang lebi telus dan adil.

Dalam Teras 3 Buku Harapan, kami menjanjikan 10 langkah untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama.

Langkah-langkah ini termasuklah tindakan spesifik untuk membantu pengusaha IKS yang majoritinya adalah Bumiputera, pelbagai program bantuan untuk mengantarabangsakan usahawan kita, menubuhkan Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama agar warga Bumiputera dapat bersaing dengan adil dalam pasaran pekerjaan, dan mewujudkan 1 juta pekerjaan berkualiti untuk membantu mobilisasi sosial masyarakat.

Semua langkah untuk merancak pertumbuhan ekonomi ini pasti akan memberi faedah langsung kepada 19.7 juta warga Bumiputera di Malaysia kerana golongan Bumiputera lah golongan majoriti dalam negara ini.

Teras Empat Buku Harapan mengandungi 9 langkah untuk melaksanakan status Sabah dan Sarawak berteraskan Perjanjian Malaysia 1963.

Langkah-langlah ini merupakan satu tuntutan oleh warga Sabah dan Sarawak yang telah mereka tuntut sejak berdekad lamanya tetapi tidak pernah dihiraukan oleh Najib. Di Sabah dan Sarawak, masing-masing mempunyai lebih dari 30 kumpulan yang mempunyai status Bumiputera di sana.

Dengan memenuhi tuntutan Perjanjian Malaysia 1963, maka kami akan memenuhi tuntutan dan kemahuan warga Bumiputera Sabah dan Sarawak yang sekian lama dipermain-mainkan oleh UMNO.

Ubah politik pecah dan perintah

Teras Lima Buku Harapan 12 langkah untuk membina sebuah Malaysia yang inklusif, moderat, dan gemilang di persada dunia.

Antara langkah yang akan kami laksanakan ialah menjadikan sekolah-sekolah kerajaan yang kii menjadi tumpuan warga Bumiputera sebagai sekolah pilihan terbaik untuk rakyat, mengembalikan wibawa universiti awam yang juga merupakan tumpuan para pelajar Bumiputera, menubuhkan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat agar kita boleh mengubah politik pecah perintah yang mengadu domba antara orang Bumiputera dengan Bumiputera, dan banyak lagi.

Semua langkah mengembalikan maruah negara melalui Teras Lima pasti akan memberi faedah langsung kepada 19.7 juta warga Bumiputera di Malaysia kerana kita akan boleh kembali berbangga mengenai negara ini, bukan terus malu akibat dituduh sebagai negara kleptokrasi yang dipimpin oleh perompak.

Kami juga mempunyai iltizam khusus untuk wara FELDA yang mana semua peneroka FELDA adalah Bumiputera. Ada 5 langkah khusus untuk kelompok Bumiputera di FELDA seluruh negara yang akan kami laksanakan untuk membantu mereka.

Najib perlu belajar mempunyai rasa malu apabila berakap bohong. Cukuplah dengan penyebaran Berita palsu yang dia lakukan setiap hari. Janganlah cuba membohongi rakyat, kerana Buku Harapan adalah sebuah manifesto yang komprehensif, yang mana setiap janji kami akan memberi faedah positif dalam membangunkan sosioekonomi Bumiputera di Malaysia.

Lebih penting lagi, Najib perlu keluar dari kepompong politik perkauman sempit. Ini adalah pemikiran ketinggalan zaman. Negara kita memerlukan pemimpin yang melihat struktur sosioekonomi masyarakat dengan eraca yang seimbang dan holistik, bukan dikotak-kotakkan mengikut neraca perkauman seperti politik pecah perintah tinggalan penjajah.

Di samping itu, Najib juga berkata “Paling kuat tuan-tuan dan puan-puan, mereka hanya berjanji membentangkan laporan di Parlimen mengenai jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera. Apa yang kaum Bumiputera dapat daripada perbuatan ini?”

Akaun bank Najib

Persoalan sebegini menunjukkan betapa Najib masih tidak faham nilai ketelusan dalam sebuah pentadbiran. Di bawah pentadbiran Najib, tiada siapa tahu jumlah dana yang digunakan untuk membantu Bumiputera berbanding jumlah yang dirompak untuk membeli kapal mewah, harta di luar negara, dan untuk membawa isteri dan keluarga melancong menaiki jet mewah.

Malahan, jumlah RM2.9 billion yang dijanjikan untuk membantu usahawan IKS Bumiputera adalah jumlah yang hanya lebih sedikit sahaja berbanding RM2.6 billion yang Najib terima ke dalam akaun peribadi beliau.

Tanpa ketelusan, kita akan terus tidak tahu sama ada perbelanjaan membantu Bumiputera adalah lebih besar atau lebih kecil daripada perbelanjaan membantu akan bank Najib sendiri.

Kerajaan Pakatan Harapan mahu agenda memajukan ekonomi Bumiputera dilaksanakan dengan telus agar warga Bumiputera sendiri boleh menilai sejauh mana kami serius dalam menjalankan janji-janji kami.

Maka laporan tahunan yang kami janjikan adalah satu langkah penting untuk membolehkan rakyat sendiri menilai prestasi pentadbibiran Kerajaan Pakatan Harapan.

Najib juga perlu ingat kepada ucapan Tun Abdul Razak Hussein pada majlis sambutan ulangtahun ke-28 UMNO bahawa “Siapa-siapa yang menyeleweng dari kehendak rakyat akan dihukum oleh rakyat sendiri.

Jikalau sokongan rakyat dipermainkan dan taat setia mereka kita abaikan dan dinilai hanya dengan wang ringgit, ini akan merosakkan parti.”

Sedarlah bahawa Almarhum Tun Abdul Razak sendiri sudah mengingatkan kita bahawa sokongan bukan hanya dengan wang ringgit sahaja.


Datuk Dr Rais Hussin merupakan Pengerusi Biro Dasar dan Strategi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.