Kasihan penjawat awam
ULASAN I Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang beberapa bentuk peruntukan untuk penjawat awam hanya gula-gula pilihan raya belaka dan tidak menyelesaikan isu kehidupan golongan terbabit secara menyeluruh.
Nyata, taktik tradisi ini adalah satu bentuk ‘rasuah halus’ bagi menutup mulut warga pekerja dan agar mereka terus ‘bersemangat’ menyokong Barisan Nasional dalam PRU14.
Walaupun penjawat awam menerima macam-macam sagu hati, saya kasihan kerana mereka juga tidak terlepas daripada beban GST, kos sara hidup yang menggunung dan kenaikan harga barang - semuanya masalah yang disebabkan kelemahan dasar pentadbiran Perdana Menteri.
Kelalaian kerajaan BN selama ini turut terbukti apabila hampir separuh penjawat awam pada tahun 2016 bergaji kurang daripada RM 3,900 - meletakkan mereka dalam kumpulan terbawah B40.
Menjelang PRU14, barulah kenaikan diberi tetapi dengan agenda politik berkepentingan. Data Cuepacs pula mendapati hampir 60 peratus penjawat awam tidak memiliki rumah walaupun sudah berkhidmat lama dalam perkhidmatan awam.
Saya turut bersimpati dengan 300,000 pemohon skim Projek Perumahan Awam 1 Malaysia (PPA1M), apabila rumah yang dibina kerajaan hanya sebanyak 200,000 walhal permintaan meningkat kepada lebih 300,000 dan semakin bertambah.
Disebabkan hutang kerajaan BN hampir mencecah RM700 billion, maka keutamaan pemerintah BN menjurus kepada pengekalan cukai GST yang dikenakan kepada rakyat demi menyelamatkan perbendaharaan negara.
Jika Perdana Menteri dan kerajaan BN serius tentang kebajikan penjawat awam dan rakyat umumnya, kenapa hanya tindakan minima diambil berdasarkan hasil laporan ‘East Asia and Pacific Economic Update - October 2017’ keluaran Bank Dunia?
Daripada tiga cadangan Bank Dunia dalam laporan tersebut, dua cadangan tidak diberi perhatian: peningkatan pengurusan isu produktiviti sektor swasta dan keberkesanan perkhidmatan awam, serta pengurangan GST. Kenaikan gaji penjawat awam pula hanya dilakukan secara berkala, dan tidak memberi impak besar pada kelangsungan hidup mereka.
Hapuskan GST dserta merta
Saya tidak akan terkejut sekiranya penurunan kadar peratusan cukai GST yang menjadi faktor harga barang naik akan diumum dalam manifesto parti pemerintah BN, kerana terdesak menjelang PRU ke 14.
Jika benar BN berdedikasi dalam menjaga kebajikan penjawat awam dan rakyat, maka Najib Razak perlu menghapuskan cukai GST serta-merta.
Setiap insentif dan kenaikan gaji yang mereka perolehi dapat menampung kos perbelanjaan keluarga mereka, bukan menyumbang kembali kepada kerajaan ‘kuat hutang’ melalui cukai GST.
Sekiranya dinobatkan, kerajaan Pakatan Harapan menjanjikan komitmen untuk meningkatkan tahap kebajikan dan tangga gaji penjawat awam secara berstruktur - seiring dengan hasil kecekapan perkhidmatan awam dalam menyalurkan khidmat kepada rakyat.
Kerajaan Pakatan Harapan juga komited melaksanakan reformasi struktur dalam sektor perkhidmatan awam dengan membebaskan pengaruh parti politik dalam perkhidmatan awam.
Kita mahukan perkhidmatan awam yang berkhidmat untuk rakyat, setia kepada Yang Di-Pertuan Agong dan Perlembagaan Persekutuan, bukan dipaksa tunduk kepada kehendak ahli politik dan Menteri yang saban tahun memanipulasi kakitangan perkhidmatan awam demi kepentingan politik.
Dalam perkhidmatan awam, ruang harus diberi kepada penjawat awam yang berdaya saing untuk menerajui pentadbiran negara. Saya yakin penjawat awam hari ini bersama-sama dengan perubahan, kerana mereka sendiri yang mengetahui kelemahan parti pemerintah sedia ada.
Menjelang PRU ke 14, saya percaya suara yang diberi menerusi undi rahsia bakal digunapakai oleh penjawat awam demi menyelamatkan masa depan Malaysia secara bersama. Kuasa rakyat kuasa keramat!
NURUL IZZAH ANWAR Anggota Parlimen Lembah Pantai, naib presiden dan pengarah pilihan raya bersama PKR.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

