Paling Popular
Terkini

ULASAN | Mengundi adalah tanggungjawab setiap warga Malaysia yang telah mendaftarkan diri sebagai pemilih. Oleh itu amat memalukan apabila ada pemimpin Umno-Barisan Nasional yang tidak menggalakkan pengundi melaksanakan kewajipan mereka.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Sementara, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada Jumaat lalu bahawa rakyat Malaysia di Singapura tidak perlu pulang mengundi pada pilihan raya umum ke-14 ini adalah amat saya kesali.

Jika benar ada kemungkinan majikan Singapura tidak mahu memberi cuti kepada pekerja Malaysia pada 9 Mei depan, Zahid sebagai pemimpin kerajaan sementara sepatutnya berani dan tegas meminta kerjasama negara jiran untuk membolehkan rakyat Malaysia pulang mengundi.

Beliau tidak boleh lepas tangan dengan hanya berkata, “Jika majikan Singapura tidak izinkan, maka saya fikir perkara yang baik adalah jangan balik mengundi." Ini jelas tidak bertanggungjawab dan mencerminkan rasa takut di kalangan pemimpin BN.

Ramai pengundi Malaysia, sama ada di dalam negara atau luar marah dengan keputusan kerajaan menetapkan Rabu, iaitu hari bekerja, sebagai hari membuang undi.

Namun, begitu setelah didesak, kerajaan sementara Datuk Seri Najib Razak akhirnya tunduk dengan tuntutan rakyat dengan mengisytiharkan 9 Mei sebagai cuti umum.

Namun, sebelum itu pun sudah ada pemimpin BN Johor seperti Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed yang telah mendesak kerajaan sementara supaya tidak memberi cuti umum. Namun, suara beliau telah ditolak oleh Najib.

Kini Nur Jazlan yang juga seorang timbalan menteri sementara masih melawan usaha kempen pulang mengundi. Dia cuba membangkitkan hujah-hujah lemah kononnya mengajak pengundi pulang mengundi adalah 'muslihat' pembangkang.

Dia juga menentang usaha syarikat-syarikat penerbangan menawarkan kemudahan penukaran tiket serta tambang murah untuk membolehkan pengundi pulang mengundi.

Persoalannya, mengapa Zahid dan Nur Jazlan takut sangat jika pengundi Malaysia pulang mengundi pada 9 Mei depan?

Ini adalah kerana mereka bimbang dengan kebangkitan orang Melayu. Mereka mula panik dan takut pengundi Melayu tidak akan memilih mereka lagi.

Mereka tahu krisis ekonomi, tekanan kos sara hidup dan sikap tidak peduli pimpinan Najib menyebabkan orang Melayu marah terhadap BN.

Mereka juga amat takut apabila tsunami politik di kawasan bandar pada PRU 2008 dan PRU 2013 akan merebak ke kawasan luar bandar dan separa bandar seluruh negara.

Mereka tahu jika rakyat semua kaum di Malaysia bangun menentang pentadbiran Najib melalui peti undi, ia akan menyebabkan berakhirnya era BN.

Era baru

Sehubungan dengan itu, walau pun ada pemimpin BN cuba menghalang, saya yakin rakyat Malaysia yang prihatin tidak akan tunduk kepada tekanan tersebut.

Teruskan kempen untuk mengajak semua pengundi Malaysia pulang mengundi demi masa depan yang lebih baik.

Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa era baru untuk semua.

 


 

LIEW CHIN TONG ialah calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Kerusi Parlimen Ayer Hitam merangkap Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 

Lihat Komen
ADS