Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Peluang BN di Kuala Nerus cerah jika letak calon pilihan akar umbi'

PRU14 l Barisan Nasional (BN) dilihat berpeluang cerah menguasai  kerusi Parlimen Kuala Nerus dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berdasarkan rekod baik perkhidmatan dan pembangunan yang dibawa BN ke kawasan ini.

Naib Ketua Umno bahagian Kuala Nerus Apli Yusoff berkata BN berpeluang besar menang semula sekiranya BN meletakkan calon boleh menang dan menjadi pilihan akar umbi.

Keyakinan itu diperkuat dengan hakikat bahawa kawasan itu dimenangi majoriti tipis PAS pada PRU 2013 dan BN telah bekerja kuat selama lima tahun ini membawa pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan secara berterusan di situ.

Pengisytiharan Kuala Nerus sebagai daerah kelapan atau daerah bongsu di Terengganu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada September 2014 juga turut mengubah keseluruhan landskap kawasan berkenaan yang dahulunya kurang membangun.

“Kuala Nerus dulu dalam daerah Kuala Terengganu, agak kurang pembangunan. Tetapi selepas diiktiraf sebagai daerah bongsu, kita lihat kawasan ini telah berubah dengan pelbagai projek yang memberi manfaat kepada rakyat, kalau BN letak calon yang disukai masyarakat, Insya-Allah, undi akan memihak kepada BN kerana telah bekerja kuat di kawasan itu.

“Sokongan rakyat terutama golongan muda dilihat memihak kepada BN berbanding parti lawan berdasarkan sokongan program yang dianjurkan BN seperti Ekspo Terengganu 2018 bulan lalu,” katanya kepada Bernama.

Tambahnya melalui ekspo itu juga rakyat mendapat gambaran dengan jelas tentang pembangunan yang telah dilaksanakan kerajaan dan sekali gus mengubah pemikiran mereka yang selama ini mungkin terpengaruh dengan dakyah negatif pembangkang.

Apli berkata sebanyak 58 peratus daripada kira-kira 92,000 orang pengundi berdaftar di Kuala Nerus adalah pengundi di bawah umur 40 tahun.

Meskipun BN hanya memenangi satu kerusi iaitu di DUN Seberang Takir, parti itu dilihat tidak pernah meminggirkan kawasan yang kalah, malah turut diberi peruntukan dan menerima pembangunan sama seperti kawasan lain yang dipegang BN.

Sebagai contoh kerajaan negeri yang diterajui BN memperuntukkan kira-kira RM600 juta untuk membangunkan pusat pentadbiran daerah itu termasuk membina pejabat kerajaan dan infrastruktur lain untuk kemudahan rakyat.

Lokasi Kuala Nerus yang menjadi pintu masuk utama ke Terengganu bagi laluan udara menerusi Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan pintu keluar ke Lebuh raya Pantai Timur fasa 2 (LPT2) di Gemuroh menjadikan daerah itu tumpuan pelancong ke negeri yang terkenal dengan keindahan pulau dan pantai terpanjang di Semenanjung sejauh 255 kilometer.

Projek pembangunan jambatan angkat atau drawbridge yang menghubungkan daerah itu dengan pusat bandar sedang rancak dibina dan dijangka siap Oktober ini akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi penduduk di kawasan itu apabila ia bakal menjadi mercu tanda baharu negeri Darul Iman.

Pelbagai peluang pekerjaan dan pembangunan rancak yang dijalankan BN di kawasan itu dilihat mampu menawan hati pengundi untuk memberi mandat kepada BN pada PRU kali ini, sekali gus memberi kemenangan 5-0 kepada parti itu.

Sementara itu, kekalahan BN dengan majoriti tipis di kawasan Parlimen dan tiga DUN di Kuala Nerus juga dilihat menjadi laluan mudah untuk BN menawan kembali kawasan itu.

Pada PRU13, di Parlimen Kuala Nerus, PAS yang diwakili Pengarah Institut Strategi Pas Mohd Khairuddin Aman Razali hanya menang majoriti 610 undi menewaskan calon BN, Mohd Nasir Ibrahim @ Ibrahim Fikri yang mendapat 33,251 undi. Khairuddin memperoleh 33,861 undi.

DUN Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim (PAS) mendapat 11,128 undi mengalahkan Muhammad Ramli Nuh (BN) yang mendapat 10,899 undi dengan majoriti 229 undi.

Di DUN Teluk Pasu (kini dikenali Buluh Gading), Datuk Abdul Rahin Mohd Said (BN) yang memperoleh 8,989 undi tewas kepada Ridzuan Hashim (PAS) hanya dengan 109 undi apabila Ridzuan mendapat 9,098 undi. Jumlah undi rosak yang dicatatkan pula adalah 196, melebihi jumlah majoriti yang diperoleh PAS.

Di DUN Bukit Tunggal, BN yang diwakili Ismail Nik mendapat 6,149 undi dikalahkan Alias Razak (PAS) hanya dengan perbezaan 652 undi.

Sementara itu, BN dijangka mampu untuk terus mengekalkan kerusi DUN Seberang Takir yang kini disandang Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Pada PRU13 kawasan itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Ahmad Razif yang memperoleh 7,731 undi, pencabarnya Zakaria Dagang (PAS) dan Ahmad Nazri Mohd Yusof (PKR) masing-masing hanya memperoleh 6,221 dan 73 undi. Ahmad Razif menang dengan majoriti 1,510 undi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS