Meritokrasi: PSM bantah pendirian PRM
Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini membantah kenyataan Ketua Penerangan Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hassan Karim yang menyatakan perlaksanaan sistem meritokrasi bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi penaja PSM, Dr Nasir Hashim berkata PRM satu ketika dulu pernah menyuarakan pandangannya dalam Kongres Parti bahawa kerajaan perlu mengambil sikap tegas ( affirmative action ) berdasarkan keperluan dan bukan atas dasar kaum dan agama, di mana tuntutan keadilan perlu selaras dengan hasrat demokrasi tulen dan hak saksama.
Beliau mengulas rencana dalam malaysiakini Isnin lalu, bertajuk 'Meritokrasi sanggah Perlembagaan', yang ditulis oleh Hassan yang jelas tidak menyokong kepada cadangan kerajaan untuk melaksanakan sistem meritokrasi kepada pelajar Melayu untuk memasuki universiti.
"Tiba-tiba kini, PRM berubah pandangan dan cuba menjadi juara kepada sistem yang selama ini ditentangnya," katanya dalam kenyataan kepada malaysiakini .
"PSM ikut sedih kerana PRM yang selama ini bertegas dalam dalam soal hak asasi dan keadilan sosial, turut bermain isu politik perkauman," kata Dr Nasir.
Dalam rencananya minggu lalu, Hassan merujuk kepada Perkara 153 (1) dan Perkara 153 (2) Perlembagaan berkaitan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera, termasuk sistem kuota kemasukan pelajar Bumiputera ke universiti.
Terpaksa mengemis
Sebaliknya Dr Nasir menganggap sistem kuota hanya memalukan dan memburukkan keadaan sesuatu kaum saja yang terpaksa mengemis kerana takut menghadapi kenyataan. Bagaimanapun, katanya lagi, keperluan golongan miskin bukan sesuatu yang diada-adakan.
Oleh itu, adalah perlu menggunakan affirmative action untuk golongan miskin dan kumpulan yang amat memerlukan tanpa mengira kaum dan agama dalam menegakkan keadilan sosial, jelas Dr Nasir lagi.
"Sememangnya PSM tidak bersetuju dengan konsep meritokrasi per se kerana ia akan hanya memihak kepada golongan yang kaya dan berkemampuan sahaja sedangkan yang miskin terus ketinggalan," katanya.
Beliau berkata walaupun PSM sedar bahawa bukan mudah untuk Dr Mahathir mengubah perkara-perkara dasar dalam Perlembagaan, namun PSM tidak mahu bersikap negatif terhadap apa pun cadangan yang memberi kebaikan kepada rakyat.
Katanya lagi, walaupun meritokrasi bukan jalan keluar kepada masalah ekonomi dan sosial negara, setidak-tidaknya ia adalah satu cadangan yang boleh dibahaskan secara terbuka tanpa sesiapa pun harus berasa takut kepada apa-apa yang sensitif atau kontroversi.
Dr Nasir mencadangkan agar semua pihak di negara ini mengambil peluang untuk mengadakan forum dan debat terbuka bagi membincangkan isu tersebut.
"Jika tidak, selamanya rakyat Malaysia akan jadi 'katak di bawah tempurung' kerana semua pemimpin politik termasuk pembangkang takut kepada apa yang mereka tafsirkan sebagai sensitif dan kontroversi," kata Dr Nasir.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.