Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Malaysia tak akan bankrap, kata bekas MP DAP

Kemampuan kerajaan dalam membiayai hutang negara, gaji penjawat awam serta projek-projek pembangunan mega, adalah bukti bahawa Malaysia bukan negara yang bakal bankrap, kata veteran DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Penyandang Parlimen Kepong selama lapan penggal itu menjelaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia, yang berjaya dilaksanakan dibawah urus tadbir kerajaan semasa, sama sekali bukan satu hasil yang gagal.

"Kita mesti tengok secara menyeluruh. Sekiranya (kerajaan) mampu memastikan pentadbiran (negara) itu wujud dengan berkesan, itu bukan bankrap.

“Apa yang dimaksudkan dengan bankrap adalah, apabila kerajaan gagal dalam semua ini (kemampuan membiaya), dimana lebih 1 juta kakitangan kerajaan tidak dibayar gaji, hutang negara tidak dapat dibayar," katanya kepada Bernama selepas menghadiri sesi temu bual khas program Ruang Bicara, Bernama News Channel baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, yang juga tetamu dalam program tersebut, berkata penilaian yang baik daripada agensi penarafan antarabangsa terkemuka seperti Fitch, Moody's dan Standard & Poor’s turut memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan bankrap.

Penarafan A yang diberi kepada Malaysia adalah hasil daripada kajian ke atas ekonomi negara yang dilihat mampu untuk membayar hutangnya, gaji penjawat awam dan penerima pencen.

“Banyak lagi negara lain di rantau ini diberi penarafan, B hingga D. Jika negara B (yang tahap penarafannya lebih rendah dari A) tidak bankrap, bagaimanapula negara A seperti Malaysia, boleh bankrap?,” tegas beliau.

Mohd Irwan berkata rizab antarabangsa Bank Negara yang mengukuh kepada US$110 bilion pada 13 April, 2018, kadar pengangguran yang rendah, serta peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi negara dan kemasukan pelaburan langsung asing ke Malaysia pada tahun lepas menjadi bukti bahawa Malaysia bukan negara yang gagal.

Beliau menambah Malaysia juga berupaya mengendalikan pendapatan defisit yang berjaya dikurangkan kepada tiga peratus pada akhir tahun kewangan 2017, berbanding 6.7 peratus sewaktu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih pucuk pimpinan pada 2009.

Kini kerajaan menuju kepada pengurangan defisit sehingga 2.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

- Bernama

Lihat Komen
ADS