Malaysiakini
BERITA

Kami masih bersama BN, kata dua ADUN Perak

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Mei 2018, 1:59 pagi

Dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang membantu Pakatan Harapan (HARAPAN) memperoleh majoriti mudah dan membentuk kerajaan negeri mendakwa mereka masih bersama BN.

ADUN Tualang Sekah Nolee Radzi berkata beliau menyokong menteri besar dari HARAPAN, Ahmad Faizal Azumu membentuk kerajaan untuk memastikan kestabilan di negeri ini dan rakyatnya.

Ini kerana Perak masih tidak mempunyai kerajaan negeri, tiga hari selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) diadakan.

"Di atas kesedaran ini saya telah mengambil ketetapan untuk memastikan penubuhan kerajaan mengikut prosedur yang disyorkan, dengan memberi sokongan kepada satu calon MB bagi membolehkan proses pembentukan kerajaan negeri yang baru, yang amat diperlukan oleh rakyat boleh dimulakan.

"Walaupun begitu, saya ingin tegaskan bahawasanya, saya tidak lompat parti dan masih mewakili Barisan Nasional. Saya mohon maaf dan sedia menerima serta akur dengan tindakan seterusnya daripada pucuk pimpinan," kata Nolee dalam laman Facebook semalam.

ADUN Sungai Manik Zainol Fadzi Paharuddin juga memberitahu New Straits Times bahawa beliau tidak melompat parti, tetapi hanya menyokong Faizal untuk menjadi menteri besar.

"Saya sendiri memberitahu Sultan bahawa saya hanya menyokong ADUN Chenderiang (Faizal) sebagai menteri besar. Itu adalah afidavit yang saya tandatangani. Saya tidak sebut sokongan kepada HARAPAN," kata Zainol Fadzi.

Beliau berkata keputusannya dibuat tanpa dorongan mana-mana pihak.

Pada PRU14 yang diadakan pada Rabu lalu, HARAPAN memenangi 29 kerusi, kurang satu daripada 30 kerusi yang diperlukan untuk membentuk majoriti mudah dalam dewan undangan negeri.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.