Kedudukan kerajaan PAS genting

   

Kedudukan PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kini lebih genting kerana hanya mempunyai kelebihan dua kerusi sahaja .

Ini dinyatakan oleh Speaker DUN Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang mengulas kesan kematian Adun Pengkalan Pasir, Wan Abul Aziz Wan Jaffar pagi ini.

"Perubahan ini cukup menarik. Jika dulu (sebelum kematian) PAS memegang 24 kerusi dan Barisan Nasional (BN) 21, kini Pas tinggal 23 kerusi, dengan kelebihan dua kerusi berbanding BN."

"Tak boleh nak katalah, tapi ia perkembangan yang cukup menarik," katanya.

PAS membentuk kerajaan negeri Kelantan bagi penggal keempat berturut-turut selepas memenangi 24 daripada 45 kerusi Dun Kelantan pada pilihanraya umum 2004.

Wan Abdul Aziz, 55, meninggal dunia pada 6.05 pagi ini kerana kanser hati di Pusat Perubatan Kota Baharu (KBMC).

Pada pilihan raya umum lalu, Wan Abdul Aziz menewaskan calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat dengan majoriti tipis 56 undi.

Wan Abdul Aziz mendapat 7,168 undi manakala Hanafi 7,112 undi.

Menurut laporan Bernama , Wan Abdul Rahim juga berkata pihaknya akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengenai kekosongan kerusi DUN itu selepas mendapat sijil kematian daripada keluarga allahyarham.

"Saya telah hubungi keluarga Allahyarham. Kerana esok cuti umum Deepavali dan selepas itu Hari Raya Aidilfitri, mungkin kita akan hantar surat berkenaan selepas cuti umum hari raya berakhir," katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya di Kubang Bemban, Pasir Mas.

Sementara itu Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pula berkata pilihanraya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kerusi dikosongkan.

Katanya, SPR sentiasa bersedia untuk mengadakan pilihanraya kecil itu dan hanya makluman daripada Speaker DUN Kelantan mengenai kekosongan kerusi berkenaan.

.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In