Mara menafikan dakwaan kononnya pelajar perubatan di Ireland tajaannya enggan pulang untuk berkhidmat selepas tamat pengajian.

Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara Datuk Rosli Mat Hassan berkata semua pelajar tajaan Mara sama ada di Ireland atau mana-mana negara terikat dengan kontrak pinjaman untuk kembali bertugas selama tiga tahun selepas tamat pengajian.

"Semua pelajar yang ditaja oleh Mara di Ireland pulang selepas tamat pengajian, mereka tidak boleh terlepas daripada keperluan untuk pulang kerana mereka diurus oleh pejabat Mara di London," katanya.

Ahad lepas Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek berkata hampir 100 orang pelajar tajaan Mara yang mengikuti pengajian perubatan di Ireland menetap dan bekerja di sana selepas lulus sebagai doktor.

Beliau menganggap mereka ini sebagai tidak mengenang budi dan berlaku pembaziran wang negara menerusi pembiayaan RM60 juta hingga RM100 juta.

Kini terdapat 300 orang pelajar pelbagai jurusan di Ireland yang ditaja oleh Mara.

Menurut laporan Bernama, Rosli berkata kesemua pelajar yang pulang ke tanah air akan melaksanakan tanggungjawab mereka untuk membayar balik pinjaman, dan setelah selesai, Mara tidak akan bertanggungjawab sama ada pelajar terbabit ingin bertugas di luar negara ataupun di Malaysia.

Seperti Jabatan Perkhidmatan Awam, Mara turut memberi kelonggaran kepada pelajar tajaannya yang ingin melajutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi walaupun mereka belum menyelesaikan bayaran balik pinjaman.

"Ini termasuk pelajar dalam jurusan perubatan kerana dalam hal ini agenda Mara adalah untuk melatih dan mewujudkan seberapa ramai doktor perubatan daripada kalangan Bumiputera," katanya.