Berita Malaysiakini

Kerajaan semak semula Pelan Tindakan India Malaysia

Annabelle Lee  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan menilai semula Pelan Tindakan India Malaysia (MIB) yang dirangka kerajaan BN terdahulu, kata Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.

"Tiada kompromi, apa yang dikatakan sebelum ini oleh kerajaan (dulu) akan dinilai semula. Apa yang dirangka dalam MIB akan dinilai semula.

"Perlu dikatakan bahawa tiada yang luar biasa dalam latar belakang MIB, sebahagian isu (di dalamnya) sudah pun dibangkitkan di Parlimen lama sebelum ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Yayasan Tamil Bangsa Malaysia di Shah Alam pagi ini.

Dilancarkan April 2017, pelan sepuluh tahun itu antaranya menjanjikan untuk meningkatkan penyertaan masyarakat India dalam perkhidmatan awam dan institusi pengajian tinggi tempatan kepada tujuh peratus, serta mewujudkan sistem bagi memberikan kerakyatan kepada mereka yang tiada kewarganegaraan.

Ia juga menjanjikan peruntukan RM40 juta bagi bantuan pendidikan tinggi, RM500 juta untuk mewujudkan dana usahawan, dan RM500 juta bawah Permodalan Nasional Berhad untuk golongan B40 masyarakat India.

Kulasegaran menyatakan komitmen untuk menaiktaraf masyarakat India melalui inisiatif latihan kemahiran dan berkata telah berjumpa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincagkannya.

"Majoriti (kaum India) tiada pekerjaan atau terpinggir daripada arus perdana. Isnin lalu, Mahathir bertemu saya secara empat mata dan berkata insentif khusus perlu dibuat bagi menangani isu ini.

"Sebagai menteri sumber manusia, saya boleh (membuat program) menambah kemahiran dan latihan...dan menaikkan pekerja kepada golongan berpendapatan lebih tinggi. Ini adalah antara perkara yang saya arahkan kepada kementerian saya," katanya lagi.

Beliau juga memberi jaminan janji terhadap masyarakat India yang terkandung dalam manifesto HARAPAN, termasuk memberi bantuan penuh kepada sekolah Tamil dan membina sekolah menengah Tamil di Pulau Pinang, akan ditunaikan.

Sementara itu, Kulasegaran juga berkata akan meneliti soal meningkatkan kemasukan ke institusi teknikal dan pendidikan vokasional (TVET).

"Saya lihat masalah besar adalah tahun lalu ada penurunan, sekitar 30 hingga 40 peratus, dalam pengambilan di kolej kemahiran.

"Ini perlu ditangani, jika tidak akan berlaku pengekalan buruh murah. Kita mahu buruh Malaysia mempunyai kemahiran dan mempunyai pendapatan yang baik," katanya.