Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Banyak telah dikatakan berhubung kemenangan yang diperolehi Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang baru berlangsung sebulan yang lepas.

Sememangnya ada banyak faktor dan kesemuanya penting dan menyumbang. Tidak perlu diperlekehkan atau mengutamakan mana-mana satu faktor kerana semuanya penting. Tanpa salah satu daripada faktor-faktor ini, mungkin keputusannya berbeza.

Ini mengingatkan saya pada apa yang berlaku pada tahun 1999 apabila PAS memenangi negeri Terengganu dan membentuk kerajaan.

Golongan tertentu pada ketika itu berusaha sekeras-kerasnya untuk menafikan faktor gerakan Reformasi. “Kemenangan ini”, kata mereka, “adalah hasil 20 tahun tarbiyyah yang dijalankan di Terengganu”.

Maka dengan sikap sebegitu, sumbangan Reformasi dinafikan dan kerajaan yang dibentuk melaksanakan dasar yang berasaskan keyakinan ia menang atas sebab tarbiyyah yang dijalankan.

Tiada ruang diberikan untuk pendukung nilai Reformasi berfungsi. Lima tahun kemudian, dalam pilihan raya seterusnya, kerajaan PAS dijatuhkan.

Sudah dijangka

Kadangkala kita ingin simplify atau memudahkan faktor kemenangan yang tercapai sedangkan ia terdiri daripada berbagai faktor yang kompleks atau rumit yang saling berkait antara satu sama lain.

Over simplifying atau terlalu memudahkan ini akan menghasilkan tindakan yang tidak selari dengan kehendak rakyat yang membawa perubahan melalui undi mereka.

Ini pasti merumitkan keadaan sepertimana yang telah dipelajari PAS, walaupun terlambat, pada tahun 2004.

Ada yang beranggapan bahawa kemenangan kali ini telah dijangka. Prestasi pada 2008 yang diikuti pula dengan yang lebih cemerlang pada 2013 hanya menjanjikan kemenangan pada 2018.

Ia digambarkan sebagai sesuatu yang sudah dijangka disebabkan hasil perkembangan yang bergerak ke arah perubahan yang tidak boleh dihalang.

Bagaikan satu trend yang semestinya mencapai kemuncak dan hasilnya, tiada yang boleh menghalangnya. Kalau dalam bahasa 'canggih' dikatakan straight line progression yang hasilnya satu kepastian.

Pemikiran sebegitu tidak pernah melayan kemungkinan boleh berlakunya kesilapan yang boleh menyebabkan kemenangan pihak lawan dicapai pada saat saat terakhir yang digambarkan seperti clutching victory from the jaws of defeat atau mencapai kemenangan dari ambang kekalahahan.

Masalahnya, politik dan manusia bukan semudah itu. Banyak sangat variables atau pembolehubah dan walaupun ia boleh dicuba untuk diambilkira, akhirnya manusia tetap manusia. Lari sedikit sahaja maka semuanya boleh berubah.

Gelombang tambahan

Bagi saya secara peribadi, kejayaan HARAPAN kali ini adalah atas sebab messaging yang jelas dan tertumpu. Ini menghasilkan gelombang tambahan yang melengkapi yang sedia ada sejak 2008 dan 2013 sehingga mendatangkan kemenangan dengan selesa.

Pendekatan yang digunakan kali ini juga ada keanjalannya. Adanya kelonggaran pada yang perlu kepada kelonggaran, seperti di Sabah. Dan ada juga kesepaduan dan rigidity pada tempat yang memerlukan kesepaduan dan rigidity seperti di Semenanjung.

Hasil dari mesej yang jelas serta tertumpu dan keanjalan tersebut maka satu tsunami rakyat telah berjaya dihasilkan. Keputusannya turut memeranjatkan semua, termasuk pihak yang menang.

Mesej yang jelas dan tertumpu ini mesti juga dizahirkan melalui amalan dan tindakan supaya semua yang mengikuti memahami perubahan kali ini adalah satu persoalan yang serius.

Tiada guna sekiranya dikatakan negara perlu diselamatkan tetapi pada masa sama parti komponen HARAPAN tidak bersatu dan kelihatan berbalah.

Oleh itu satu pendekatan yang menyakinkan rakyat bahawa HARAPAN bersatu dan padu adalah amat penting.

Ke arah ini kesemua pimpinan parti komponen telah memperlihatkan pengorbanan yang tinggi. Demi menyelamatkan negara maka kesatuan dan perpaduan diutamakan sehingga semua berkorban.

Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim berkorban dengan mengenepikan perasaan dan keperitan yang pernah dilalui sehingga sanggup menerima Tun Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja sebagai pengerusi HARAPAN tetapi juga calon Perdana Menteri.

Hanya yang pernah bersama keluarga Anwar dalam mengharungi segala mehnah dan tribulasi zaman Reformasi boleh memahami betapa besarnya pengorbanan tersebut.

Dr Mahathir juga berkorban. Meninggalkan kedudukan yang selesa sebagai bekas perdana menteri yang disanjung dan dipuji ahli dan penyokong Umno BN untuk mengharungi badai sebagai pemimpin pembangkang.

Dan bukan hanya itu sahaja, tetapi juga bersatu dengan musuh-musuh asal termasuk PKR dan DAP, demi tertubuhnya satu gabungan politik pembangkang yang mantap.

HARAPAN dilihat bersatu

Segala celaan dan tohmahan diharunginya dengan penuh ketabahan demi menyelamatkan negara. Meninggalkan Umno, parti yang telah beliau berkhidmat untuknya sekian lama dan mengambil tekad untuk membina parti politik baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

DAP juga telah turut berkorban. Pengorbanan yang tidak disangkakan apabila logo roket yang dikenali ahli dan penyokong sanggup diketepikan dan sebaliknya digunakan logo PKR. Demi menzahirkan satu kesatuan yang mampu meyakinkan rakyat bahawa HARAPAN bersatu.

Parti Amanah Negara (AMANAH) juga tidak ketinggalan berkorban. Mungkin antara yang terawal berkorban dengan penubuhan AMANAH yang disambut dengan sumpah saranah dan doa laknat pimpinan parti lama.

Semua itu terpaksa diharungi untuk mewujudkan wadah baharu melalui HARAPAN setelah Pakatan Rakyat dirungkai habis oleh tindakan PAS.

Kesemua kesungguhan dan pengorbanan ini disaksikan rakyat. Dengan adanya ketidakpuasan hati dan isu-isu besar sahaja tidak memadai. Persoalan keyakinan rakyat atas kesungguhan perjuangan HARAPAN perlu dizahirkan dan dibuktikan.

Akhirnya rakyat memahami. Ia perjuangan untuk selamatkan negara dan HARAPAN hanya sekadar sebagai wadah yang digunakan rakyat ke arah pencapaian matlamat tersebut. Namun rakyat perlu yakin wadah tersebut boleh memenuhi kehendak mereka.

Apabila rakyat dapat diyakinkan maka mereka sanggup mengharungi apa sahaja. Termasuklah mengundi pada hari Rabu dan terpaksa menunggu berjam-jam lamanya beratur dalam keadaan panas.

Kerana ia perjuangan rakyat. Demi menyelamatkan negara. Dan senjata yang disediakan kelihatan padu dan berkemampuan.

Oleh itu, semua telah menyumbang. Samada Anwar, Dr Mahathir, DAP atau AMANAH, sama ada isu atau kos kehidupan, sama ada perwatakan Najib dan Rosmah yang tidak digemari rakyat, semua menyumbang kepada kejayaan.

Bagi yang beriman akhirnya ia adalah takdir Allah. Manusia merancang dan Allah juga merancang. Dan Allah sebaik-baik perancang. Usaha dan kegigihan menghasilkan natijah yang diinginkan dengan izin Allah.


KHALID SAMAD merupakan Anggota Parlimen Shah Alam dan Pengarah Komunikasi AMANAH.

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS